Pengguna pengangkutan awam terutama LRT dijangka meningkat 15 Jun - Prasarana
Fareez Azman
Jun 11, 2020 16:33 MYT
Jun 11, 2020 16:33 MYT
Bilangan penumpang pengangkutan awam terutama Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang dijangka meningkat pada 15 Jun ini yang menjadi hari pertama insentif Program MY30 bermula.
Program MY30 membolehkan penumpang menikmati perjalanan tanpa had dengan bayaran RM30 sebulan, menggunakan pengangkutan awam kendalian Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Lembah Klang.
Inisiatif yang akan berlangsung sehingga hujung tahun itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam pengumuman Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek di sini, pada Jumaat lalu.
Ketua Pegawai Operasi Prasarana, Muhammad Nizam Alias, berkata pihaknya kini bersiap sedia untuk menghadapi peningkatan bilangan penumpang terutama dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) normal baharu.
"Bagi memastikan tiada kesesakan berlaku, kekerapan tren dikembalikan seperti biasa iaitu ketika sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Pada masa ini, kekerapan tren adalah setiap tiga minit pada waktu puncak iaitu kekerapan maksimum.
"Tetapi sekiranya ada pertambahan dan keperluan, kami akan memanjangkan tempoh waktu puncak setiap pagi iaitu jam 7 hingga 11.00 pagi," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Mengulas mengenai pertambahan bilangan penumpang selepas PKPP berkuat kuasa, beliau berkata peningkatan berlaku dengan perlahan dan secara berperingkat.
"Untuk mencapai bilangan pengguna harian seperti sebelum ini iaitu seramai 750,000, mungkin mengambil masa sehingga hujung tahun ini," katanya.
Sementara itu, Muhammad Nizam, mencadangkan majikan supaya memperkenalkan waktu kerja anjal bagi mengurangkan kesesakan penumpang pengangkutan awam pada waktu puncak.
"Jika ini boleh dilakukan, mungkin tidak semua orang akan bersesak di stesen dan dalam pengangkutan awam secara seretak antara jam 7 hingga 9 pagi," katanya.
#LRT
#My30
#operasi
#pengangkutan awam
#pengguna
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#prasarana
#Prasarana Malaysia Berhad
#rakyat
#SOP
#tren