Pengguna media sosial perlu hati-hati, kukuhkan tetapan sekuriti dan privasi - Pakar

Bernama
Julai 24, 2024 13:44 MYT
Pengguna perlu ambil langkah kawalan seperti menggunakan verifikasi dua langkah, cap jari, pengecaman wajah serta nombor pas pengesahan transaksi (OTP). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengguna media sosial perlu berhati-hati mengendalikan platform itu dengan memperkukuh tetapan sekuriti dan privasi bagi menangani insiden berkaitan jenayah siber.
Timbalan Pengarah (Pengurusan Strategik) Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Nur Izura Udzir berkata mereka perlu mengambil langkah kawalan seperti menggunakan verifikasi dua langkah, cap jari, pengecaman wajah serta nombor pas pengesahan transaksi (OTP).
"Pengguna perlu berhati-hati, berasa curiga dan jangan mudah terpedaya memandangkan terlalu banyak penipuan seperti scam, buli siber yang berkongsi kandungan sensitif serta bersifat menghasut. Selain mengemas kini tetapan media sosial, pengguna perlu mengemas kini pengetahuan isu semasa.
"Mereka juga dinasihati untuk elak menekan pautan tidak yakin dan sahih yang mempunyai fail aplikasi (APK) iaitu kod yang boleh menceroboh peranti serta memudahkan penyangak siber," katanya pada program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau berkata media sosial seperti WhatsApp dan Telegram perlu lebih bertanggungjawab serta memberikan komitmen yang serius untuk menyediakan platform selamat kepada pengguna dengan mengawal kandungan dan hantaran.
"Mereka perlu memberi komitmen serius untuk membanteras jenayah komersial, kanak-kanak dan sosial yang boleh digunakan seperti pornografi, penggunaan dadah dan cetak rompak.
"Penyedia media sosial perlu ambil serius kerana perkara ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya.
-- BERNAMA
#keselamatan #pengguna #media sosial #jenayah siber #privasi