Pengguna media sosial jangan keluarkan komen tidak benar atau spekulasi - KPN

Bernama
Julai 20, 2024 04:40 MYT
Razarudin berkata pihaknya memandang serius mengenai penggunaan media sosial secara melampau hingga menimbulkan fitnah terhadap pihak lain. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terutamanya pengguna media sosial, yang didapati mengeluarkan sebarang spekulasi atau komen secara melampau sehingga mengancam keselamatan individu lain.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tindakan membuat hantaran serta spekulasi berkaitan sesuatu isu hingga berlakunya fitnah, ugutan atau buli siber, adalah kesalahan jenayah walaupun ia berlaku di alam siber.
Beliau berkata individu yang melakukan tindakan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang dikuat kuasa antaranya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana ugutan, Seksyen 500 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM).
"Saya memberi amaran kepada masyarakat terutama pengguna media sosial agar tidak mengeluarkan komen tidak benar dan membuat sebarang spekulasi.
"Jangan menyebarkan sesuatu perkara yang tidak pasti kesahihannya sehingga boleh menimbul fitnah, yang polis boleh bertindak menyiasat jika menerima laporan dan dituduh di mahkamah...Beri ruang dan serahkan kepada kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan dalam sesuatu kes," katanya ketika dihubungi.
Razarudin berkata pihaknya memandang serius mengenai penggunaan media sosial secara melampau hingga menimbulkan fitnah terhadap pihak lain.
Beliau berkata antara contoh yang dapat dilihat ketika ini apabila pelbagai spekulasi yang timbul di media sosial dengan menghina, mengutuk mencaci mangsa mahupun suspek dalam kes berkaitan pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah.
Razarudin berkata perbuatan tersebut secara tidak langsung boleh mengganggu emosi dan memberi tekanan kepada waris keluarga.
"Inilah buli siber. Isu ini serius...Kita tidak mahu berlakunya kejadian buli siber sehingga menyebabkan kematian seperti yang menimpa pempengaruh TikTok baru-baru ini," katanya.
Razarudin berkata individu yang merasakan dibuli di media sosial, diminta tampil melaporkan kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Komunikasi dalam meneliti dan mengkaji langkah serta tindakan yang lebih tegas dalam memerangi unsur buli siber.
"PDRM dan Kementerian Komunikasi sudah membentuk satu jawatankuasa yang diberi tanggungjawab meneliti aspek perundangan yang bakal dicadangkan pada masa akan datang.
-- BERNAMA
#Ketua Polis Negara #Razarudin Husain #spekulasi atau komen secara melampau #buli siber #Nur Farah Kartini Abdullah