Pengguna media sosial, internet perlu berhikmah, fikir sebelum kongsi - Fahmi

Bernama
Ogos 19, 2023 16:53 MYT
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengingatkan pengguna media sosial dan Internet agar berhikmah dan berfikir sebelum berkongsi apa jua bahan yang berpotensi menimbulkan keresahan pihak berkaitan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengingatkan pengguna media sosial dan Internet agar berhikmah dan berfikir sebelum berkongsi apa jua bahan yang berpotensi menimbulkan keresahan pihak berkaitan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan video di media sosial yang menunjukkan mayat mangsa insiden pesawat terhempas yang terbakar dalam kejadian berdekatan Bandar Elmina, di Shah Alam, Khamis lepas.
"Ini adalah satu daripada perkara yang kita perlu faham sebagai pengguna media sosial dan Internet; bukan semua yang kita sampaikan itu baik-baik belaka, kadangkala kita perlu fikir dulu, fikirlah dua kali sebelum anda kongsi.
"Kalau ada perkara yang membuka aib orang atau menimbulkan keresahan keluarga mangsa, kita pertimbangkan dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Catur Terbuka Intergenerasi anjuran Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Lembah Pantai di sini, hari ini.
Fahmi turut melahirkan rasa kecewa terhadap sikap sesetengah pengguna media sosial yang tidak mempunyai perasaan simpati dan empati kepada keluarga mangsa.
"Saya pilu, sangat sedih, bukan sahaja kerana nahas itu, kadang-kadang sikap kita (sebagai manusia); kita kena ada batas, bukan hanya dalam isu 3R (kaum, agama dan Institusi Diraja) atau fitnah, tapi sebenarnya isu adab, akhlak dan moral, maka saya berharap kita belajar daripada kejadian tragik ini.
"Hormatilah keluarga mangsa, fikirkan mengenai bagaimana perasaan kita, jika kita berada dalam kedudukan mereka. Harap anda mempunyai sedikit rasa simpati dan empati," katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata sekiranya laporan polis dibuat mengenai perkara berkenaan, tindakan boleh diambil oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berdasarkan peruntukan undang-undang.
"Saya belum terima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai perkara ini, tetapi sekiranya ada laporan polis yang dibuat (mengenai video), saya percaya peruntukan undang-undang ada untuk siasatan dibuat dan kalau didapati melanggar undang-undang, maka tindakan boleh diambil," katanya.
Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang Khamis lepas menyaksikan sebuah pesawat ringan terhempas dan mengorbankan kesemua dua kru dan enam penumpang selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing yang melalui tempat kejadian.
-- BERNAMA
#pengguna media sosial #Kementerian Komunikasi dan Digital #Fahmi Fadzil #nahas Elmina
;