Pengguna lebuh raya disaran guna TTA elak kesesakan

Astro Awani
Februari 6, 2013 00:53 MYT
Orang ramai disarankan merancang perjalanan balik kampung menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina mengikut cadangan waktu perjalanan, (TTA) yang dikeluarkan oleh Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus).
Ianya dijangka dapat mengagihkan aliran trafik secara berkesan dan mengurangkan kesesakan di lebuhraya utara-selatan, terutama pada waktu puncak.
Menurut Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad, Datuk Norizah Abdul Rahman, TTA membantu merancang perjalanan pengguna lebuhraya berikutan jumlah kenderaan akan meningkat sebanyak 30 peratus.
“Kita perlu mengagihkan aliran trafik kerana kita tidak mampu menampung aliran trafik atau kenderaan yang datang pada satu masa. Jika berlaku, ianya boleh menyebabkan kesesakan lebuh raya. Jadi, kita perlu mengagihkan aliran trafik melalui jadual cadangan waktu perjalanan. Kita telah mengeluarkan jadual ini pada tahun-tahun lepas. dan ianya menunjukkan keberkesanan jika saranan itu dipatuhi oleh pengguna lebuh raya,” kata Norizah.
TTA mencadangkan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi dari Lembah Kelang ke negeri seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Johor.
Orang ramai yang pulang ke kampung di Utara Semenanjung dan Johor pada 8 dan 9 Februari dinasihatkan memulakan sebelum jam 12 tengahari.
Manakala pengguna yang mahu ke destinasi lebih dekat termasuk Kuala Kangsar, Changkat Jering, Taiping dan Melaka disarankan memasuki lebuh raya antara jam 12 tengahari hingga 3 petang.
#cadangan waktu perjalanan #Datuk Norizah Abdul Rahman #PLUS #Tahun Baru Cina #TTA