Pengguna kenderaan langgar peraturan sumbangkan kesesakan di lebuhraya
Harits Asyraf Hasnan
Julai 26, 2014 21:13 MYT
Julai 26, 2014 21:13 MYT
Jutaan kenderaan berada di lebuhraya utama khususnya Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sejak malam Jumaat sehingga ke hari ini. Aliran kenderaan di laluan menuju ke utara antara yang dilaporkan mengalami kesesakan teruk.
Astro AWANI berkesempatan menyertai tinjauan udara bersama Unit Udara PLUS. Tinjauan udara yang bermula pukul 2.15 petang memulakan tinjauan awal di Plaza Tol Jalan Duta. Meskipun kenderaan bertali arus namun trafik masih lancar.
Sepanjang pemantauan dilakukan, masih ada kenderaan mengambil kesempatan menggunakan lorong kecemasan ketika kenderaan lain bergerak perlahan di lorong biasa. Malah, lorong kecemasan juga terhalang akibat tindakan mereka itu.
Tinjauan kami turut mendapati masih ada lori menggunakan lebuhraya pada waktu larangan.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini mengenakan larangan kepada tiga kategori kenderaan berat daripada menggunakan lebuhraya dalam tempoh empat hari dan masa terpilih semasa sambutan hari raya Aidilfitri.
Pengurus Besar Kanan, Bahagian Operasi PLUS, Mohd Zulastri Mohd Amin, berkata PLUS membuka laluan kontra iaitu di kawasan Ladang Bikam dan Terowong Menora.
Pihaknya juga akan membuka laluan kontra di lain-lain kawasan jika ada keperluan.
“Kami bermula daripada Subang kami dapati peningkatan trafik agak ketara terutama di bahagian Rawang hinggalah ke kawasan Slim River. Dimana kita ada 3 lorong di sana.
“Dan kemudian ia bersambung hinggalah ke Sungkai dan juga ke Bidor. Jadi sepanjang 70 km itu bertali arus.
“Walau bagaimanapun, tiada kemalangan yang kami dapati cuma trafik agak tinggi kemungkinan pengguna-pengguna lebuhraya telah keluar pada waktu yang sama,” katanya.
Justeru, PLUS meminta pengguna jalan raya dapat mematuhi jadual perjalanan yang dikeluarkan bagi memastikan keadaan aliran trafik sentiasa terkawal.
Pada masa sama, Zulastri turut meminta pihak polis supaya mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang mengambil kesempatan menggunakan laluan kecemasan.
“Jadi kita nak sampai ke suatu lokasi cepat, jadi pengguna-pengguna sepatutnya tidak menggunakan laluan kecemasan kecuali atas arahan pihak polis.
“Banyak yang lalu sebab apa mereka mungkin sudah tidak sabar jadi mereka memotong di bahagian lorong kecemasan.
“Jadi kita telah memberi arahan kepada pihak polis supaya mengambil tindakan jika mereka melakukan kesalahan tersebut,” tegasnya.