Pengguna Jalan Raya Timur Barat diminta berhati-hati kehadiran gajah

Bernama
Januari 25, 2023 05:20 MYT
Gajah di kawasan berkenaan sudah biasa dengan kehadiran manusia dan kenderaan. - Gambar hiasan
IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak meminta orang ramai yang menggunakan laluan Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik ke Jeli supaya berhati-hati dengan kehadiran gajah di kawasan berkenaan.
Pengarahnya Yusoff Shariff berkata ia susulan tular rakaman video yang mendakwa seekor gajah mengejar sebuah kenderaan pelbagai guna (Toyota Vellfire) di Gerik baru-baru ini.
"Kehadiran gajah di kawasan itu adalah perkara biasa yang sering berlaku dan pengguna jalan raya diminta supaya tidak melakukan provokasi sebaliknya cuba menjauhkan kenderaan dari haiwan berkenaan.
"Tindakan kenderaan yang berpatah balik dalam video tular itu adalah lebih baik kerana dapat menyelamatkan diri mereka.
"Pengguna sepatutnya sedia maklum mengenai kemungkinan bertembung dengan gajah di laluan itu kerana pihak Perhilitan telah memasang beberapa papan tanda amaran," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.
Beliau berkata lokasi berkenaan merupakan kawasan habitat hidupan liar dan gajah di kawasan berkenaan sudah biasa dengan kehadiran manusia dan kenderaan.
Tular video berdurasi lebih dua minit di media sosial menunjukkan kehadiran seekor gajah di laluan berkenaan yang turut seakan mengejar beberapa kenderaan itu namun tiada kejadian tidak diingini berlaku.
-- BERNAMA
#Perhilitan #Jalan Raya Timur Barat #gajah #gajah kejar kereta
;