Pengguna e-hailing lebih selesa dengan pengkhususan komuniti

Astro Awani
September 27, 2019 21:30 MYT
Dacsee kini menyediakan 12 kenderaan yang dilengkapi penapis udara Acson dan merancang membuat penambahan kepada 50 kenderaan dalam tempoh sebulan. - Gambar Hiasan
Pengenalan sistem komuniti akan memudahkan pengguna e-hailing sekali gus fokus lebih khusus terhadap keperluan penumpang sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif Dacsee, Lim Chiew Shan berkata, pengenalan komuniti terbaharu itu juga penting dalam menyediakan persekitaran yang kondusif ketika melakukan perjalanan terutama di ibu kota.
“Komuniti khusus yang turut diwujudkan untuk pengguna adalah Lady Driver, Friendly Driver, Quiet Driver dan Preferred Driver.
“Ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak lagi pengkhususan komuniti seiring dengan slogan syarikat, ‘Meraih Keceriaan Dalam Perjalanan’ atau Finding Joy In Your Journey,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Sementara itu jelasnya, pelancaran kempen ‘Udara Lebih Segar’ dengan kerjasama pengeluar pendingin hawa, Acson adalah antara usaha melengkapkan kenderaan Dacsee di Lembah Klang dengan penapis udara.
“Bermula 25 September lalu, komuniti Dacsee akan dapat melihat paparan logo Acson pada aplikasi telefon pintar di sekitar Lembah Klang.
“Ikon ini sebagai representasi kepada komuniti ‘Udara Lebih Segar’ atau kenderaan yang dilengkapi penapis udara berkenaan.
“Apa yang perlu dilakukan oleh komuniti adalah membuat pesanan lazim melalui aplikasi Dacsee dan jika kenderaan dilengkapi penapis udara Acson berhampiran, logo akan dipaparkan sebagai pilihan perjalanan,” ujarnya.
Tambahnya, ia usaha meningkatkan kualiti udara pada masa jerebu yang melanda negara akhir-akhir ini.
Buat masa ini jelas Chiew Shan, Dacsee menyediakan 12 kenderaan yang dilengkapi penapis udara Acson dan merancang membuat penambahan kepada 50 kenderaan dalam tempoh sebulan.
#Dacsee #e-hailing #Finding Joy In Your Journey #Friendly Driver #Lady Driver #Preferred Driver #Quiet Driver #telefon pintar
;