Pengguna domestik, bukan domestik terima rebat elektrik 2 sen setiap kWj
Astro Awani
Januari 18, 2021 17:30 MYT
Januari 18, 2021 17:30 MYT
PUTRAJAYA: Semua pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) domestik dan bukan domestik akan menerima rebat elektrik pada kadar dua sen setiap kilowatt per jam (kWj), iaitu bersamaan penurunan bil elektrik sehingga sembilan peratus bagi tempoh enam bulan mulai Januari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata enam sektor perniagaan di negara ini juga akan menerima diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Sektor berkenaan adalah melibatkan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
"Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 kepada enam sektor perniagaan di seluruh negara," katanya ketika menyampaikan Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI), di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, syarikat jaminan pinjaman perniagaan akan memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi.
Di bawah skim itu katanya, 50 peratus jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.
"Dengan itu, pengusaha bas dan teksi dapat menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah.
"Jaminan sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan untuk tujuan ini," tambahnya.
#rebat elektrik
#TNB
#Tenaga Nasional Berhad
#pengendali hotel
#pusat konvensyen
#pusat beli belah
#pelancongan
#syarikat penerbangan
#PKP
#COVID-19
#diskaun khas
#rebat