Penggubalan undang-undang kawal selia agensi pelancongan dalam talian tidak jejaskan pengguna - MyBHA
Nickyson Nyambar
September 26, 2021 18:47 MYT
September 26, 2021 18:47 MYT
KUALA LUMPUR : Penggubalan undang-undang dalam mengawal selia agensi pelancongan dalam talian dapat memberi impak terhadap usaha memulihkan industri pelancongan.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Sri Ganesh Michiel, usaha untuk memulihkan kembali industri perhotelan dan pelancongan tidak akan dapat direalisasikan sekiranya pihak kerajaan gagal menyelesaikan ancaman industri yang masih menjadi faktor utama dalam mempengaruhi industri berkenaan.
"Kami tidak menentang agensi pelancongan dalam talian, kami hanya memerlukan suatu undang-undang digubal dalam mengawal selia mereka," tegas pihaknya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, meskipun penggubalan undang-undang dalam perkara tersebut tidak menjejaskan pengguna, akan tetapi beliau menyifatkan ia mampu menghentikan 'penjajahan teknologi' norma baharu dalam usaha pemulihan industri berkenaan.
Malah, katanya, kenyataan bercanggah Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) dan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason menerusi sebuah portal berkenaan perkara itu, adalah tidak wajar.
"Mesej dari Uzaidi Udanis, Presiden MITA dan Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA tidak dapat diterima kerana hanya pemilik atau pengendali hotel yang akan mengetahui isu dan masalah yang dihadapi industri perhotelan.
"Sebagai bukan pengusaha hotel, mereka tidak akan memahami masalah kritikal dalaman yang dihadapi diantara pengusaha industri perhotelan dan agensi pelancongan atas talian (OTA).
"Sebagai Persatuan dengan keanggotaan ahli-ahli yang terdiri daripada agensi atau syarikat pelancongan dalam negeri, objektif MITA harus jelas dalam melindungi ahli-ahli persatuan dengan memastikan keadilan dalam perniagaan dapat dikecapi apabila suatu akta digubal untuk mengawal selia semua agensi pelancongan atas talian dan perkara ini akan secara langsung memberi faedah kepada semua pihak," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, langkah untuk menggubal undang-undang mengawal selia agensi pelancongan secara atas talian serta melindungi industri pelancongan dan perhotelan tidak akan memberi gambaran kurang menarik terhadap negara ini.
"Malah, ia akan menunjukkan bahawa negara kita memiliki peraturan serta undang-undang dalam melindungi semua pihak daripada pengguna atau pelancong.
"Ini termasuk pengusaha hotel dan agensi pelancongan tempatan," jelasnya lagi.
Oleh yang demikian, beliau mencadangkan pendapatan OTA yang mengenakan komisen terlalu tinggi dikawal agar pihak hotel dapat menawarkan harga lebih baik dan dapat memanfaatkan pengguna.
"Sekiranya agensi pelancongan atas talian menarik balik perkhidmatan mereka dari Malaysia, ia secara langsung akan memberi lebih manfaat kepada agensi pelancongan tempatan.
"Namun, kita harus memahami bahawa era normal baharu ini telah membawa sehingga 95 peratus pelancong domestik atau pengguna untuk menggunakan agensi pelancongan atas talian yang tidak dikawal oleh mana-mana undang-undang.
"Pengguna perlu mendapatkan perkhidmatan yang sewajarnya sepertimana yang diharapkan ketika mereka membeli daripada industri perkhidmatan penginapan atau hotel.
"Kami menyifatkan perkara ini sebagai suatu bentuk 'penjajahan teknologi' norma baharu terhadap industri perhotelan dan pelancongan.
"Penggubalan suatu undang-undang dalam mengawal selia agensi OTA akan memberikan suatu konsep perniagaan yang adil serta dapat memastikan bahawa industri perhotelan tidak dijajah menggunakan teknologi tanpa penguatkuasaan atau peraturan dari pihak kerajaan yang mana semua perniagaan yang sah perlu mempunyai suatu undang-undang yang mampu mengawal selia perniagaan tersebut," jelas beliau.