Penggubalan Akta Pembangunan Komersial dalam perancangan - Zuraida
Nickyson Nyambar
Februari 17, 2020 12:12 MYT
Februari 17, 2020 12:12 MYT
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam perancangan untuk menggubal Akta Pembangunan Komersial untuk menyelaraskan lagi penstrukturan berkaitan pembangunan komersial di negara ini.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, penggubalan akta baharu itu turut mengambil kira pandangan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) bagi memastikan setiap input yang diberikan oleh para arkitek diberikan perhatian sepenuhnya dan selaras dengan cadangan garis panduan yang akan dilaksanakan itu nanti.
“Kita tidak ada Akta Pembangunan Komersial lagi. Belum ada lagi. Jadi kita tengok bangunan komersial ini tidak ada akta tersendiri.
"Jadi kita harus menggubal akta itu untuk memastikan bahawa bangunan komersial ini tertakluk kepada SOP perundangan yang ada,” katanya.
Menyentuh mengenai spesifikasi yang akan digariskan dalam penggubalan akta baharu tersebut, menurut Zuraida, perkara itu akan dimaklumkan kemudian kerana ia masih di peringkat perancangan.
“Garis masa kami berikan sehingga hujung tahun ini,” jelasnya.
Tambahnya lagi, melalui akta itu nanti ia akan memastikan arkitek tempatan diberikan keutamaan dalam menjalankan projek di bawah pembangunan komersial selain mengawal selia penyerahan projek kepada arkitek luar.
Dalam masa sama, akta berkenaan berkemungkinan akan digabungkan bersama-sama Akta Pemajuan Perumahan sedia ada bagi membentuk satu garis panduan yang efektif dan berkesan.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Festival Seni bina Kuala Lumpur 2020 (KLAF2020) di bangunan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) pada Sabtu.
Festival berkenaan berlangsung sejak 15 Februari lalu dan akan berterusan sehingga ke Ogos tahun ini.
#Akta Pembangunan Komersial
#Astro Awani
#Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
#KPKT
#PAM
#Pertubuhan Akitek Malaysia