Penggodaman laman web MAS boleh dielak jika sistem sentiasa dipantau - CyberSecurity Malaysia
Astro Awani
Januari 26, 2015 22:13 MYT
Januari 26, 2015 22:13 MYT
CyberSecurity Malaysia berpandangan bahawa kejadian penggodaman laman web rasmi Malaysia Airlines (MAS) boleh dielakkan sekiranya Sistem Nama Domain (DNS) laman tersebut sentiasa dipantau dan diperbaharui.
Menurut Naib Presiden Perkhidmatan Responsif CyberSecurity Malaysia, Dr Aswami Fadillah Mohd Ariffin, insiden tersebut bukanlah baharu dan boleh terjadi apabila pemeriksaan terhadap DNS, bagi mengelakkan ianya digodam, tidak dilakukan.
"Kebiasaannya penggodam mengambil alih pelayan dan menukar konfigurasinya, dan seterusnya penggodam boleh menjangkiti pelayan-pelayan lain dengan menggunakan malware ataupun virus," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dr Aswami turut meminta pengguna internet agar sentiasa berwaspada dengan ancaman-ancaman penggodam.
Sementara itu, beliau juga meminta pengguna internet supaya menghubungi program Cyber999 sekiranya mengalami sebarang masalah sistem digodam.
"Dengan memanggil kami, kita boleh buat analisa forensik supaya punca sebenar dapat dikenalpasti dan di samping itu amat penting pada pemilik sistem supaya audit dapat dibuat dari masa ke semasa untuk memastikan ia dalam keadaan terbaik," katanya.
Terdahulu, laman web rasmi syarikat penerbangan MAS dilaporkan telah digodam pada kira-kira jam 10 pagi tadi.
Pengguna internet yang melayari URL www.malaysiaairlines.com dibawa ke satu laman web yang mempuyai imej pesawat Malaysia Airline.
Laman berkenaan turut bertulis, “404 – Plane Not Found. Hacked by Cyber Caliphate. Follow Cyber Caliphate on Twitter.”
Laman web berkenaan kembali pulih seperti biasa namun pada jam 10.25 pagi, laman web berkenaan digodam sekali lagi.
Kali ini, tertera di laman web berkenaan satu imej menunjukkan gambar seekor cicak bersut hitam dan bertopi.
Bagaimanapun MAS dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook mereka, menafikan bahawa laman tersebut serta data penumpang digodam.
MAS turut memberi jaminan kepada pelanggan bahawa 'masalah gangguan sementara' itu tidak menjejaskan tempahan penerbangan dan kesemua data pengguna masih selamat.