Penggiat pelancongan Pulau Tioman rayu diberi kelonggaran sebelum musim tengkujuh

Bernama
September 8, 2021 16:14 MYT
Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan, dengan Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 Sept ini.- Gambar fail/BERNAMA
ROMPIN: Pengusaha pelancongan Pulau Tioman di sini masih mengharapkan agar penganjuran aktiviti air di destinasi percutian popular itu dibenarkan dalam tempoh dua bulan sebelum musim tengkujuh bermula.
Rata-rata pengusaha chalet yang mempunyai lebih 15 kakitangan dan ketiadaan pelancong terpaksa memberhentikan pekerja kerana tidak mampu membayar gaji, selain kekurangan wang bagi meneruskan perniagaan.
Tok Ampat (Ketua Kampung) Kampung Juara Ab Razib Ali Awang, 55, berkata kebenaran bagi menjalankan aktiviti itu dapat menghidupkan semula ekonomi masyarakat di situ yang kehilangan punca rezeki apabila sektor pelancongan tidak beroperasi akibat pandemik COVID-19.
"Bantuan Program Subsidi Upah yang diberikan kerajaan memang sangat membantu kami membayar pekerja, tetapi kami masih perlu menanggung bil utiliti dan pinjaman bank, selain perlu mencari pendapatan bagi menyara keluarga.
"Sebab itu kami berharap supaya kelonggaran untuk kami mulakan semula aktiviti air dengan segera, bagi menarik kehadiran pelancong dari dalam negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bapa kepada lima orang anak, yang juga mengusahakan Chalet Tioman Santai Resort di kampung tersebut, berkata mereka cuba mencari pendapatan dengan menjual buah, namun tidak mendatangkan hasil yang banyak memandangkan pembeli hanya terdiri daripada penduduk di pulau itu.
Pengusaha Damai Tioman Resort Syed Rizalman Syed Abu Bakar, 46, pula berkata kelonggaran untuk melaksanakan aktiviti pantai wajar diberikan untuk penggiat industri di pulau berkenaan, memandangkan kira-kira 80 peratus penduduk dewasa di situ sudah lengkap vaksinasi.
"Kami berharap satu kelebihan atau peluang diberikan kepada penggiat pelancongan di sini kerana kami ada kurang dua bulan untuk berniaga, kerana bakal berhadapan dengan musim tengkujuh selama empat bulan bermula November.
"Jika keistimewaan ini tidak diberikan kami terpaksa menunggu tahun depan untuk beroperasi sepenuhnya. Ia memberi kesan teruk kepada pendapatan pemain industri dan saya sendiri sudah memberhentikan lapan pekerja sejak wabak COVID-19 semakin buruk awal tahun lepas," katanya.
Syed Rizalman, yang telah 12 tahun terlibat dalam perniagaan hospitaliti itu, berkata jika aktiviti air dibenarkan walaupun untuk tempoh yang singkat, ia sekurang-kurangnya membolehkan mereka menabung semula wang simpanan yang semakin susut selepas berjimat cermat sepanjang pandemik.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata pihaknya mendapati penggiat industri di Pulau Tioman bersedia untuk menawarkan aktiviti pelancongan kepada pengunjung dan berharap mereka dapat bersabar menunggu pengumuman khabar baik daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Seperti diketahui umum, kebergantungan penduduk di sini terhadap aktiviti pelancongan adalah tinggi dan dengan pembukaan sektor tersebut ia dapat menggalakkan semula ekonomi di kawasan berkenaan melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Bagaimanapun, kami mengharapkan kerjasama daripada kedua-dua pihak sama ada penggiat industri mahupun bakal pengunjung, supaya SOP yang ditetapkan harus dipatuhi dan diamalkan demi kebaikan semua pihak," katanya.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan, dengan Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 Sept ini.
-- BERNAMA
#Pulau Tioman #sektor pelancongan #pelancong #Tourism Malaysia
;