Penggiat industri perlu masa untuk laksana Cukai Pelancongan - Pakar cukai

Bernama
April 22, 2017 17:36 MYT
Industri pelancongan memerlukan tempoh selama enam hingga 12 bulan untuk bersedia dengan cadangan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017. - Gambar fail
Industri pelancongan memerlukan tempoh selama enam hingga 12 bulan untuk bersedia dengan cadangan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 berikutan aspek operasi penting serta kewajaran cukai berkenaan, termasuk pengecualian yang belum dimuktamadkan, kata seorang pakar cukai.
Rakan Kongsi Cukai Tidak Langsung Deloitte Malaysia, Senthuran Elalingam berkata aspek seperti persiapan awal, penglibatan dan perbincangan adalah kritikal kerana pelaksanaan cukai itu boleh memberi kos tambahan kepada penggiat industri khususnya penyedia khidmat penginapan.
Menurutnya, kos itu terpaksa ditanggung oleh pihak pengendali perkhidmatan itu sekiranya ia tidak dapat ditampung oleh pelancong.
"Cukai Pelancongan itu tidak hanya membabitkan pelancong tetapi turut membabitkan sesiapa saja yang menginap di mana-mana premis berkenaan di Malaysia, termasuk rakyat tempatan dan mereka yang melakukan perjalanan bagi tujuan perniagaan dan bukan santai.
"Setakat ini, kami tidak mempunyai butiran lanjut, namun difahamkan cukai itu bergantung kepada harga asas (penginapan) semalaman dan pada kadar tetap mengikut penarafan bintang hotel itu.
"Ini bermakna pelanggan di sebuah hotel lima bintang perlu membayar sehingga RM20 (semalam), tiga bintang (RM10) manakala premis yang tiada penarafan pula RM2.50," katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Senthuran berkata pengecualian pula bergantung kepada jenis penginapan terbabit, namun ini belum dapat dipastikan kerana tiada maklumat jelas mengenainya setakat ini.
Malah, katanya, tidak dapat dipastikan sama ada cukai itu turut melibatkan perkhidmatan hospitaliti yang ditempah secara dalam talian, Airbnb yang membolehkan orang ramai untuk menyewa bagi tujuan penginapan singkat termasuk percutian, sewaan pangsapuri, inap desa, katil asrama atau bilik hotel.
Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 yang dibentangkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, dibentangkan bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat pada awal bulan ini.
Ia bertujuan mewujudkan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai pelancongan ke atas pelancong yang menginap di premis pelancongan di Malaysia.
Menurut Senthuran, kerajaan berhasrat menggunakan cukai pelancongan itu sebagai dana untuk menampung aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan tempatan.
Jelasnya, cukai berkenaan yang turut dikenali sebagai ''cukai penginapan'' di beberapa negara, turut dilaksanakan di Amerika Syarikat dan destinasi percutian di Eropah dan lebih bersifat sebagai cukai peringkat bandar berbanding di seluruh negara.
Malah, katanya, berdasarkan pelaksanaannya di luar negara, pengecualian diberikan bagi tempoh penginapan yang lama seperti melebihi lima hari.
"Dari sudut pencukaian, cukai pelancongan itu akan memberi kos tambahan kepada pengendali berkaitan iaitu dari segi pelaksanaan dan kutipan manakala bagi perspektif pengguna ini bermakna mereka perlu membayar lebih lagi bergantung kepada jenis penginapan pilihan. Cukai ini pula berkadar tetap dan tidak mewakili peratusan daripada kadar penginapan bilik," katanya.
Mengulas perbezaan antara Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pelancongan itu, Senthuran berkata tidak seperti GST yang memerlukan syarikat perniagaan berdaftar jika pendapatan mereka mencecah RM500,000, cukai pelancongan itu sebaliknya tiada had tertentu.
Ini bermakna, semua pengendali perlu membuat kutipan cukai berkenaan kecuali melibatkan pengecualian tertentu.
"Bagi perspektif perniagaan, caj GST itu boleh dituntut perniagaan yang berdaftar dan bukannya satu kos. Namun cukai pelancongan tidak mempunyai sebarang kredit bagi perbelanjaan perniagaan dan hanya meningkatkan kos," katanya.
Katanya, di bawah undang-undang itu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana individu meninggalkan negara ini sehinggalah mereka membayar tunggakan cukai atau penalti.
"Penalti itu boleh dikenakan bagi kesalahan seperti kegagalan untuk mendaftar.
"Jika mengambil kira pengalaman dengan GST, kami menjangkakan akan ada sedikit tolak ansur jika kesilapan itu terbukti sahih. Namun, sebarang tindakan mengetepikan undang-undang tidak akan diterima dan kegagalan mendaftar untuk cukai pelancongan itu boleh dikenakan penalti sehingga RM30,000," katanya.
Baru-baru ini Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cukai itu yang disifatkan tidak kondusif untuk perniagaan dan menyebabkan pelancong tidak berminat untuk tinggal lama kerana perlu membayar lebih.
Presiden MAH, Cheah Swee Hee berkata rakyat Malaysia akan terjejas sama ada untuk melancong bagi tujuan santai atau perniagaan.
"Ini membebankan rakyat tempatan serta menjejaskan pasaran pelancongan domestik, terutama warga tempatan yang menginap di hotel apabila mengunjungi anak-anak di institusi pengajian tinggi atau pun saudara yang dirawat di hospital," katanya.
Cheah berkata pihak hotel juga telah membelanjakan sejumlah besar wang untuk menambah baik sistem pengurusan sejajar keperluan GST pada 2015 dan kini terpaksa menanggung kos untuk mengubah sistem berkenaan bagi menepati pelaksanaan cukai pelancongan berkenaan.
-- BERNAMA
#cukai #cukai pelancongan #hotel #industri pelancongan #kastam #pelancong #pelancongan
;