Penggantungan pesawat Hawk 108 bergantung hasil siasatan - Hishammuddin
Fareez Azman
November 17, 2021 18:30 MYT
November 17, 2021 18:30 MYT
KLEBANG: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan, pesawat pejuang Hawk 108 akan terus digunakan untuk latihan dan operasi.
Menurut Menteri Pertahanan, buat masa ini, keputusan penggantungan pesawat itu hanya akan dibuat selepas siasatan dijalankan Lembaga Siasatan Khas.
Beliau berkata, selagi mampu berfungsi dengan baik, pesawat berkenaan akan terus digunakan, namun, kerajaan juga dalam masa sama akan tetap meneruskan perancangan untuk membeli pesawat baharu.
"Selagi berfungsi dengan baik ia tidak jadi masalah (penggunaan pesawat Hawk) dan sebarang keputusan (menggantung operasi) akan dibuat berdasarkan hasil siasatan,” katanya.
Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media selepas bertemu calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Lim Ban Hing di Bilik Gerakan BN di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas malam tadi di Pangkalan Udara Butterworth.
Berikutan insiden itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan siasatan terperinci.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 10.07 malam itu, seorang juruterbang, Kapten Mohamad Affendi Bustamy meninggal dunia sementara rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar pula dirawat di Hospital Seberang Jaya, Butterworth dan dilaporkan selamat dan stabil.
Dalam perkembangan berkaita, Hishammuddin berkata, ketika ini beliau tidak menerima sebarang laporan untuk menukarkan pesawat yang digunakan dalam latihan itu.
Malah setiap pesawat pejuang, jelasnya, akan menjalani proses selenggara sebelum dibenarkan bertugas.
"Ianya datang daripada kehendak TUDM sendiri, kita bukannya pakar atau pengguna akhir, akhirnya terletak ke atas bahu dan kepala TUDM memastikan aset sedia ada selamat menjalankan apa yang telah ditetapkan memastikan negara kita selamat.
"Ia masih berfungsi untuk latihan pada waktu malam, saya tak terima laporan apa-apa berhubung Skuadron mengendalikan pesawat Hawk itu," katanya.
Hishammuddin turut mengingatkan agar tiada pihak cuba mengambil kesempatan serta mengeruhkan keadaan ketika siasatan masih dijalankan.
Dalam pada masa, Hishammuddin turut menzahirkan rasa sedih dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga kedua anggota yang terlibat dalam kejadian itu.
"Saya juga sudah minta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghulurkan apa juga bantuan kepada keluarga mangsa," katanya.
"Saya amat sedih dengan tragedi dan kejadian itu tapi ap yang saya arahkan bahawa Kementerian Pertahanan dan ATM khususnya TUDM sedia hulur apa jua bentuk keperluan keluarga kedua-dua pegawai terbabit," kata Menteri Pertahanan itu lagi.
#pesawat Hawk 108 terhempas
#Pangkalan Udara Butterworth
#Kapten Mohamad Affendi Bustamy
#Hishammuddin Hussein