Pengganti Taib harus pastikan tonggak BN bebas pergelutan kuasa
Ashwad Ismail
Februari 11, 2014 07:30 MYT
Februari 11, 2014 07:30 MYT
Ketua Menteri Sarawak yang baru bakal mewarisi cabaran mengukuhkan semula blok pemerintah menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Menurut penganalisis politik Univerisiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr. Jeneri Amir, langkah pertama yang perlu dilakukan pengganti Abdul Taib ialah memastikan tonggak utama Barisan Nasional (BN) negeri, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bebas unsur sabotaj dan pergelutan kuasa pasca Abdul Taib.
"Cabaran yang pertama ialah untuk meredakan rasa kekecewaan. Jika kekecewaan itu tidak dapat dikawal bagi mereka yang tidak dipilih, penyokong mereka ini nanti boleh menimbulkan konflik." jelas Jeneri.
"Bagi saya, ketua menteri baru ini perlu pastikan konflik ini dapat direndamkan".
Namun Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat sebaliknya.
Beliau percaya muafakat dalaman PBB akan terus kukuh pasca pengunduran Abdul Taib.
Sebaliknya beliau melihat masalah dalaman komponen BN negeri, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) lebih mendesak penyelesaian konkrit dan segera.
"(Masalah) itu mencacatkan dan merumitkan. Saya kira kepimpinan baru dapat mengaturkan supaya (parti tersebut dapat) digabungkan ataupun segera mencari penyelesaian," jelas Abdul Karim.
Dalam pada itu, Dr. Jeneri juga mengakui, tidak mudah bagi sesiapa sahaja untuk mewarisi sebuah legasi kepimpinan politik yang utuh seperti mana yang disaksikan di Sarawak.
Ini kerana prestasi cemerlang PBB pada Pilihan Raya Negeri 2011 dan Pilihan Raya Umum ke-13 sentiasa menjadi kayu pengukur terhadap kepimpinan baru tersebut.
Untuk rekod PBB menang semua kerusi DUN dan Parlimen yang ditandinginya.
Proses demokrasi Bumi Kenyalang pada 2011 menyaksikan PBB menguasai semua 36 kerusi DUN yang ditandinginya, sementara pada PRU-13 pula PBB merekodkan 100 peratus penguasaan di semua 14 kerusi parlimen yang ditandinginya.
Tempoh mandat pemerintahan negeri berakhir Jun 2016.