Penggangur didakwa pukul, ludah anggota RELA

Bernama
Mei 19, 2021 13:12 MYT
Kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku selepas tertuduh berang kerana tidak dibenarkan masuk ke pasar. - Foto Sinar Harian
LUMUT: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini, atas tuduhan mencederakan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di Pasar Awam Looking Good, Kampung Koh, Sitiawan, Sabtu lepas.
Yeap Sen Sing, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin terhadapnya di hadapan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar.
Bapa dua anak itu didakwa mendatangkan kecederaan ke atas Hong Koh Hwa, 46, seorang penjawat awam yang sedang melakukan tugasan rasminya di pasar awam berkenaan pada jam 6.40 pagi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman tiga tahun penjara atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Dalam kejadian yang tular di media sosial itu, tertuduh dipercayai berang kerana tidak dibenarkan masuk ke pasar masih belum dibuka sebelum bertindak kasar memukul dan meludah ke atas Hong yang sedang bertugas.
-- BERNAMA
#serang #RELA #cedera #Pasar Awam Looking Good #Yeap Sen Sing
;