Penggali telaga maut tertimbus tanah

Sinar Harian
April 15, 2024 21:30 MYT
Seorang penggali telaga maut selepas tertimbus semasa melakukan kerja-kerja menurunkan pembetung dalam kejadian di Masjid Kampung Gelam, Tok Uban pada Isnin. - Sinar Harian
PASIR MAS: Seorang penggali telaga maut selepas tertimbus semasa melakukan kerja-kerja menurunkan pembetung dalam kejadian di Masjid Kampung Gelam, Tok Uban di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 5.50 petang, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Khairul Jeffry Maarof, 23.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Kanan II Adnan Mohd Juri berkata, seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 5.54 petang.
"Setiba di lokasi pada jam 6.17 petang, kami dapati mangsa sudah tertimbus dalam telaga yang berkedalaman enam meter," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, hasil bantuan orang awam, mayat mangsa berjaya ditemukan pada jam 7.15 malam.
Ujarnya, sejurus ditemukan mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Adnan memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
- Sinar Harian
#penggali telaga #tertimbus #Masjid Kampung Gelam #Mohamad Khairul Jeffry Maarof
;