Penggal kepala ibu: Suspek masih enggan buka mulut - Polis
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 17, 2022 15:52 MYT
Januari 17, 2022 15:52 MYT
KUALA LUMPUR: Suspek lelaki yang bertindak kejam apabila sanggup memenggal kepala ibu kandungnya sendiri dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor semalam masih enggan bercakap berkenaan motif perbuatannya itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa yang dihubungi Astro AWANI berkata, siasatan masih dijalankan bagi mencari punca sebenar lelaki tersebut bertindak demikian.
“Setakat ini suspek tidak hendak bercakap apa-apa dan siasatan tentang motif suspek menetak ibunya sendiri dan masih dalam siasatan. Semua maklumat akan dikumpulkan termasuk jiran-jiran serta bukti lain di tempat kejadian. Pasukan siasatan akan meneruskan siasatan di tempat kejadian,” jelasnya hari ini.
Dalam kejadian semalam suspek yang berusia 28 tahun bertindak menetak leher ibunya yang berusia berusia 56 tahun itu sehingga putus di kediaman mereka.
Lelaki berkenaan kemudiannya berjaya diberkas oleh polis dengan bantuan penduduk kampung ketika suspek bersembunyi dalam belukar berhampiran dengan rumah mangsa.
Hasil laporan awal suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Suspek kemudiannya direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini.