Penggal kepala ibu: Penganggur didakwa bunuh ibu

Bernama
Januari 24, 2022 05:06 MYT
Mohamed Azam didakwa membunuh Hamidah Ismail di sebuah rumah di Pasir Penambang, K.Selangor antara 8.10 pagi-6.08 petang pada 15 Jan lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. - Foto Astro AWANI
KUALA SELANGOR: Seorang lelaki yang dipercayai telah memenggal kepala ibunya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu, pertengahan bulan ini.
Mohamed Azam Abdul Rasib, 29, yang merupakan penganggur mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman yang kemudiannya menetapkan 28 Mac untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan forensik.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mohamed Azam didakwa membunuh Hamidah Ismail, 56, di sebuah rumah di Pasir Penambang, Kuala Selangor antara 8.10 pagi dan 6.08 petang pada 15 Jan lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Oon manakala tertuduh diwakili peguam Naim Mahmud.
Terdahulu, Naim memohon mahkamah membenarkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri di mana-mana hospital kerajaan.
Roslizi berkata permohonan tersebut perlu dibuat di Mahkamah Tinggi apabila kes tersebut dipindahkan ke mahkamah itu.
BACA: Siasatan kes anak penggal kepala ibu selesai - Polis
BACA: Penggal kepala ibu: Suspek enggan buka mulut - Polis
BACA: Anak penggal kepala ibu hingga maut
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang penganggur yang disyaki memenggal kepala ibunya di sebuah rumah dan polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam insiden itu.
Laporan awal ujian air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis metamfetamina serta amfetamina.
-- BERNAMA
#penganggur #anak penggal kepala ibu #Mohamed Azam Abdul Rasib #Mahkamah Majistret