Penggajian pekerja asing bagi sektor lain akan dikaji - Sivakumar
Bernama
Januari 21, 2023 09:45 MYT
Januari 21, 2023 09:45 MYT
BATU GAJAH: Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk memperluas kelulusan penggajian pekerja asing bagi sektor dan subsektor kritikal lain selepas tiga bulan pelaksanaan program Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata lima sektor dan subsektor kritikal yang terlibat ketika ini ialah perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (melibatkan restoran sahaja).
"Buat masa ini Kementerian Sumber Manusia bersama Kementerian Dalam Negeri telah membuat keputusan untuk membawa masuk pekerja asing bagi lima sektor kritikal ini yang betul-betul memerlukan tenaga kerja yang banyak. Jadi buat masa ini keputusannya adalah untuk membantu lima sektor ini dahulu.
"Selepas tiga bulan apabila kita dapat menyelesaikan masalah (kekurangan pekerja asing bagi sektor dan subsektor kritikal), kita akan mempertimbangkan kepada sektor peruncitan dan lain-lain," katanya.
Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 Kementerian Sumber Manusia di Pusat Konvensyen Pusing di sini, malam tadi.
Rabu lepas, Sivakumar memaklumkan 500,000 pekerja asing akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan bilangan itu akan ditambah jika terdapat keperluan, namun tidak melebihi 2.4 juta.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata majikan akan dibenarkan untuk menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.
Saifuddin dipetik sebagai berkata beliau akan mengetuai siri lawatan bersama Kementerian Sumber Manusia dan agensi kawal selia ke 15 negara sumber terpilih bagi membincangkan perihal keselamatan dan kebajikan pekerja asing di negara ini.
-- BERNAMA