Penggabungan Mavcom, CAAM akan dibawa ke Parlimen tahun ini - Loke

Bernama
Februari 8, 2024 09:40 MYT
Loke dan Chandran (kiri) menyantuni para penumpang penerbangan Batik Air ke Sibu sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1, Sepang, semalam. -- fotoBERNAMA
SEPANG: Penggabungan antara Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai satu agensi tunggal kawal selia penerbangan, masih dalam perbincangan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata perkara itu dijangka dibawa ke Parlimen tahun ini, sama ada pada sesi kedua atau ketiga.
Loke berkata demikian selepas pelepasan penumpang Batik Air dari Kuala Lumpur ke Sibu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini semalam.
Sesi kedua persidangan Parlimen dijangka bermula 24 Jun hingga 18 Julai manakala sesi ketiga dijangka pada 7 Okt hingga 5 Dis.
Penggabungan antara Mavcom dan CAAM diumumkan oleh Loke pada 2019.
Pada masa ini, Malaysia merupakan satu daripada beberapa negara yang mempunyai dua pengawal selia penerbangan iaitu Mavcom dan CAAM.
Mavcom menyelia bahagian kewangan, komersial dan ekonomi syarikat penerbangan, manakala CAAM melihat aspek teknikal.
Sementara itu Pengarah Strategi Kumpulan Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy yang turut bersama pada majlis itu berkata syarikat penerbangan itu memulakan semula penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sibu dua kali sehari bermula 6 Feb, bagi memenuhi keperluan pasaran dan juga selaras dengan inisiatif kerajaan meningkatkan kekerapan penerbangan antara Semenanjung dan Malaysia timur.
Beliau berkata disebabkan permintaan tinggi sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Batik Air akan menawarkan penerbangan tambahan antara 6 hingga 9 Feb pada jam 5 petang dan dari Sibu pada 7.55 petang.
-- BERNAMA
#gabung Mavcom CAAM #Anthony Loke #Batik Air #penerbangan Kuala Lumpur-Sibu
;