Pengetua taska, tadika perlu mahir dalam pendidikan awal kanak-kanak
Rahimah Abdullah
Julai 21, 2022 18:33 MYT
Julai 21, 2022 18:33 MYT
SUBANG JAYA : Pengetua atau pemilik taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) perlu memastikan mereka memiliki kemahiran dalam pendidikan awal kanak-kanak dan bukan sekadar memikirkan keuntungan semata-mata.
Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE), Datin Profesor Mariani Md Nor berkata, langkah itu penting bagi memastikan mereka mampu melakukan sesuatu perkara yang bermakna untuk generasi akan datang.
"Satu perkara yang sangat penting ialah pengetua mestilah mahir dalam pendidikan awal kanak-kanak. Dia mesti mahir. Ia bukan soal mendapatkan keuntungan, ia adalah soal apa yang anda boleh lakukan terhadap sifat generasi akan datang. Itu sangat penting," katanya semasa menjadi panelis sesi forum ‘Learning and Working Together: Transforming Early Childhood Systems through Effective Collaboration’ sempena pelancaran Taylor’s Center for Childhood Development and Innovation (CCDI) di Taylor's University di sini pada Khamis.
Malah katanya, untuk menjadi pengetua taska atau tadika yang baik, premis asuhan dan didikan kanak-kanak itu perlu didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Jabatan Pendidikan Negeri.
"Apabila sudah didaftarkan, ia akan memastikan kamu mengambil guru yang baik. Namun bukan itu sahaja, kerana selain perkara itu, kamu juga perlu mahir dalam semuanya, bercakap dengan kanak-kanak, mengajar mereka, menilai menu makanan mereka, kerana ia bukan hanya tanggungjawab guru yang mengajar kanak-kanak, tetapi juga kolaborasi didikan ibu bapa.
"Ia juga peranan masyarakat secara keseluruhan. Maka,di sini, pengetua memainkan peranan yang sangat penting," ujarnya lagi.
Beliau mengakui seseorang pengetua taska atau tadika itu mungkin memikirkan mengenai keuntungan pada awalnya.
Namun, beliau yakin, semangat dan rasa cinta terhadap bidang itu mula mengatasi keuntungan apabila seseorang itu sudah meraih pengalaman suka duka dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
"Mula-mula mungkin dia memikirkan mengenai keuntungan. Dia tidak peduli. Namun, apabila masa berlalu, ada perkara atau insiden berlaku, dan pada akhir tahun keduanya, dia akan menunjukkan semangat, dan bermotivasi, dan pada saat itu, keuntungan bukan lagi satu keutamaan. Ia adalah rasa cinta," ujarnya lagi.
Justeru katanya, usaha membesar dan mendidik anak-anak bukan satu perkara mudah dan memerlukan semangat, dan kecintaan terhadap usaha melahirkan generasi muda yang berguna pada masa akan datang.