Pengetua cemerlang didakwa terbabit pengantunan seksual ditempatkan di PPD
Astro Awani
Januari 12, 2020 12:52 MYT
Januari 12, 2020 12:52 MYT
Seorang pengetua cemerlang yang didakwa dalam gangguan pengantunan seksual terhadap seorang pelajar sudah ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Langkah itu bagi memudahkan siasatan berjalan lancar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata kes itu sedang dalam siasatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan kementerian memandang serius tuduhan itu.
"KPM pandang serius tuduhan tersebut dan kita perlu pastikan sekolah adalah tempat selamat untuk anakpanak kita.
“Saya harap sesiapa ada maklumat bukan sahaja kes ini tetapi kes lain juga. Kita tidak mahu ada kes ditutup tetapi pengetua tersebut telah dikeluarkan dari sekolah untuk pastikan bahawa dia tidak menganggu murid lain dan mangsa. Dia (pengetua) di pindahkan ke PPD," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Murni Jaya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan seorang pengetua sekolah di johor bahru yang didakwa melakukan pengantunan seksual terhadap seorang pelajar lelaki di sekolah terbabit.
Nie Ching turut meminta mangsa membuat laporan polis berhubung isu terbabit sekiranya mangsa masih belum membuat laporan polis.
Pihaknya juga akan membuat laporan polis jika siasatan JPN Johor mengesahkan berlaku gangguan seksual itu.
Jelasnya perincian kes tidak boleh diberikan kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh JPN Johor.
Pengetua berkenaan, yang baru-baru ini mendapat anugerah pengetua cemerlang, turut didakwa menghantar mesej-mesej berunsur lucah, yang kini viral dalam media sosial.
#Johor Bahru
#KPM
#Kulai Johor
#Media
#media sosial
#pendidikan
#pengantunan seksual
#pengetua cemerlang
#polis
#Teo Nie Ching
#Timbalan Menteri Pendidikan