Pengesanan awal kes mampu putuskan rantaian COVID-19

Astro Awani
Mei 9, 2020 05:13 MYT
Uggah mengadakan lawatan program pengesanan kes aktif COVID-19 di Dewan Kampung Tabuan Lot, di sini pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
Pengesanan awal kes COVID-19 mampu mengurangkan risiko jangkitan sekali gus memutuskan rantaian wabak itu khususnya di kawasan zon merah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, proses pengesanan awal itu juga adalah usaha berterusan pihaknya dalam meratakan lengkuk pandemik virus tersebut.
"Kita mendapati pengesanan awal kes aktif ini sangat berkesan kerana sebagai contoh kita dapat mengesan beberapa kes seperti di Desa Ilmu dan Uni Garden (sebelum ini).
"Jika kita tidak melakukan pengesanan awal kes positif ia akan ada (risiko jangkitan) kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai simptom," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan program pengesanan kes aktif COVID-19 di Dewan Kampung Tabuan Lot, di sini pada Sabtu.
Tambah Uggah, ia merupakan operasi pengesanan kedua dijalankan selepas program sama dilakukan di Samarahan melibatkan kawasan perumahan Uni Garden dan Desa Ilmu.
Katanya, sekiranya penduduk di kampung itu didapati bergejala, mereka akan diminta merujuk ke dewan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
Operasi pengesanan awal dilakukan dari rumah ke rumah di kampung itu yang melibatkan 423 premis meliputi 2,100 penduduk.
#COVID-19 #Datuk Amar Douglas Uggah Embas #Desa Ilmu #Douglas Uggas Embas #Kampung Tabuan Lot #Kuching #Pengerusi JPBN Sarawak #pengesanan awal kes #Uni Garden #zon merah