Pengesahan kanak- kanak dijangkiti rabies di Melaka diketahui dalam tempoh terdekat

Astro Awani
Julai 15, 2017 09:41 MYT
Dr Hilmi berkata, walaupun kanak- kanak terbabit ada menunjukkan simptom penyakit berkenaan, namun ia belum dapat disahkan sehingga ujian makmal diperolehi. - Gambar fail
Keputusan sama ada seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dimasukkan ke Hospital Melaka dijangkiti virus rabies atau penyakit anjing gila dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan bagi mengetahui sama ada pesakit terbabit dijangkiti dengan virus berkenaan ataupun sebaliknya.
Dr Hilmi berkata, walaupun kanak- kanak terbabit ada menunjukkan simptom penyakit berkenaan, namun ia belum dapat disahkan sehingga ujian makmal diperolehi.
"Mangsa masuk ke Hospital Melaka kerana disyaki, ada simptom rabies, maka dia disyaki dijangkiti rabies. Pengesahan mengambil masa, jadi tunggulah keputusannya.
"Nasihat kami kepada orang ramai, jika bimbang dijangkiti rabies segera ke hospital, kami akan perhati dan bagi vaksin, kita ada vaksin manusia dan vaksin haiwan," katanya selepas merasmikan Pusat Mata, Vista Eye Specialist di Air Itam,di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai perkembangan terkini kanak- kanak berusia enam tahun di Melaka yang disyaki dijangkiti penyakit tersebut setelah pulang dari bercuti di Sarawak baru-baru ini.
Dia dikatakan digigit anjing di kawasan kampung yang menjadi tempat virus itu merebak.
Kanak- kanak itu dilaporkan mengalami demam dan selesema dan dirujuk ke Hospital Terendak sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka pada Rabu lalu.
#anjing gila #Dr Hilmi Yahaya #Kanak-kanak #Kementerian Kesihatan #rabies