Pengesahan identiti pengguna media sosial wajar dilaksanakan - Penganalisis
Irfan Faruqi
Januari 8, 2025 19:19 MYT
Januari 8, 2025 19:19 MYT
KUALA LUMPUR: Langkah keselamatan melalui pengesahan identiti pengguna yang membuka akaun media sosial merupakan langkah yang wajar untuk dilaksanakan.
Ringkasan AI
- Pengesahan Identiti Pengguna: Langkah ini penting untuk mengurangkan akaun palsu dan memastikan pengguna media sosial adalah individu sebenar.
- Memperhebat Mekanisme Pemantauan: Perlu memperkuat platform kawalan penipuan siber dengan saluran laporan dan aduan yang lebih pantas.
- Rang Undang-Undang Jenayah Siber Baharu: RUU ini bertujuan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang lapuk dan menyertai konvensyen antarabangsa untuk memerangi jenayah siber.
Penganalisis Perangsaraf Media dan Informasi, Dr. Ahmad Sauffiyan Hasan berkata, tindakan ini adalah sebahagian daripada cadangan untuk memperhebat mekanisme pemantauan penggunaan dan keselamatan platform dalam talian.
"Kita boleh memperhebat platform kawalan penipuan siber. Kita sudah ada platform tersebut tetapi kita perlu perhebatkan lagi dengan saluran laporan dan aduan pengguna mengenai kes penipuan serta ancaman siber, dengan sistem sokongan yang lebih pantas.
“Seterusnya, saya berpandangan pengesahan identiti di media sosial boleh mengurangkan pengguna-pengguna akaun palsu dan sebagainya. Ini bagi memastikan pengguna media sosial ialah orang yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata agensi berkenaan dalam proses merangka Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber baharu yang dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Sesi Keempat Parlimen ke-15 pada Oktober ini.
Menurutnya, RUU yang dicadangkan itu bertujuan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang kini dianggap lapuk dan tidak relevan dalam menangani ancaman siber moden.
Beliau berkata RUU baharu itu menjadi keperluan utama bagi Malaysia untuk menyertai Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Jenayah Siber pada Jun ini, kedua-dua konvensyen itu penting bagi menunjukkan komitmen negara dalam memerangi jenayah siber di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.