Pengerusi Syiah Ja'fari ditahan berhubung pertubuhan tidak berdaftar ROS
Bernama
April 21, 2014 22:48 MYT
April 21, 2014 22:48 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Awam Syiah Imamiyyah (Ja'fari) Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz ditahan polis hari ini untuk disiasat berhubung pertubuhan itu yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Ketua Polis Gombak ACP Ali Ahmad berkata penahanan itu dibuat di Taman Sri Gombak selepas ROS membuat laporan polis berhubung kewujudan Ja'fari yang tidak berdaftar sebagai sebuah pertubuhan.
"Bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan laporan akan dimaklumkan sejurus selesai soal siasat dijalankan.
"Segala dokumen berkaitan ada dengan pihak ROS, polis hanya membantu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap ROS ketika ditemui Bernama di IPD Gombak pula enggan mengulas mengenai perkara itu dan memberitahu ROS akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat. --- Bernama