Pengerusi syarikat ditahan disyaki beri rasuah untuk dapat projek RM110 juta

Umavathi Ramayah
Februari 18, 2021 14:16 MYT
Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga Sabtu ini. - Gambar SPRM
PUTRAJAYA: Seorang pengerusi sebuah syarikat pembinaan ditahan reman selama tiga hari selepas disyaki terlibat dalam pemberian rasuah bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM110 juta daripada sebuah kementerian, sembilan tahun lalu.
Perintah reman yang bermula hari ini ke atas suspek berusia 67 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang mengesahkan perkara itu berkata, penahahan ke atas tertuduh dilakukan bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 16 SPRM 2009 dijalankan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi individu akan ditahan bagi membantu kes itu.
"Saya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Ahmad Khusairi berkata, suspek tersebut ditahan di pejabat SPRM semalam selepas keterangannya diambil.
#SPRM #pembinaan #ditahan reman #Mahkamah Majistret Putrajaya #Rasuah
;