Pengerusi Risda syor birokrasi 'longgar' elak rasuah

Bernama
Januari 24, 2017 18:05 MYT
Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin menyarankan agensi-agensi kerajaan supaya tidak mengamalkan birokrasi ketat. - Gambar fail
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Zahidi Zainul Abidin menyarankan agensi-agensi kerajaan supaya tidak mengamalkan birokrasi ketat yang dikhuatiri boleh menjurus kepada berlakunya perbuatan rasuah.
Beliau berkata prosedur permohonan dan kelulusan projek yang ketat, misalnya, menyebabkan sesetengah syarikat 'terdesak' sehingga mendorong mereka untuk mengamalkan rasuah sebagai jalan pintas.
"Ini secara tidak langsung menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan kerana ia (kerajaan) dilihat melaksanakan birokrasi yang tampaknya menyusahkan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Risda di ibu pejabat Risda di sini, hari ini.
Zahidi berkata Risda turut kerugian hampir RM5 juta setiap bulan berikutan amalan birokrasi yang ketat.
"Permohonan Risda mendapatkan pekerja asing bagi mengusahakan ladang kelapa sawit ditolak dan kami kerugian sebab tidak dapat memungut buah.
"Jika Risda sebagai agensi kerajaan tidak dapat kelulusan, bagaimana dengan agensi swasta. Kerajaan akan rugi berbilion hasil birokrasi ketat dan ini akan menggalakkan aktiviti rasuah," katanya.
Zahidi berharap agensi-agensi kerajaan lebih bertimbang rasa dalam melaksanakan peraturan urusan mereka selain memudahkan sistem pengurusannya bagi kepentingan semua pihak.
Pada program sama, Risda, Yayasan Risda, Risda Catering and Event Sdn Bhd dan Narsco Berhad menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bersama-sama Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menzahirkan komitmen membanteras rasuah.
SPRM diwakili Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Datuk Mohamad Yusoff Akope manakala Risda diwakili Ketua Pengarahnya Mohd Najib A. Samad.
-- BERNAMA
#CIP #Datuk Zahidi Zainul Abidin #risda #SPRM
;