Pengerusi pertubuhan belia direman empat hari salah guna kedudukan
Bernama
Februari 12, 2023 18:54 MYT
Februari 12, 2023 18:54 MYT
MELAKA: Seorang pengerusi pertubuhan belia di Johor direman empat hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan berhubung salah guna kedudukan.
Perintah reman selama empat hari bermula 11 hingga 14 Feb itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Suzana Mokhtar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka semalam.
Menurut sumber, wanita berusia 40-an itu dipercayai bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Melaka ditahan kira-kira 5 petang, Jumaat lepas ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Melaka.
Suspek ditahan kerana disyaki menggunakan jawatan dan kedudukannya untuk menggunakan wang milik pertubuhan tersebut berjumlah kira-kira RM75,000 untuk kegunaan dirinya sendiri.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA