Pengerusi MyWatch Sri Sanjeevan bebas tuduhan buat hantaran komunikasi palsu berkaitan PDRM

Bernama
Mei 5, 2023 16:41 MYT
Sanjeevan ketika ditemui pemberita bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada pasukan peguam sepanjang mengendalikan kes tersebut.- Fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R. Sri Sanjeevan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Twitter.
Hakim Datuk M. M Edwin Paramjothy membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sanjeevan, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS), di akhir kes pendakwaan.
"Sehubungan itu OKS dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri dan wang jaminan dikembalikan," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal, manakala Sanjeevan diwakili peguam S. Preakas dan Miguel Sequerah.
Seramai lapan saksi pendakwaan telah memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula Jun 2020.
Pada 5 Jun 2020, Sanjeevan didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan PDRM dengan niat menganiayai orang lain melalui aplikasi Twitter @SanjeevanSS yang dibaca pada 7 April 2020, pada 3.15 petang di Pejabat Komunikasi, Aras 2, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.
Ahli perniagaan itu juga dituduh melakukan perbuatan sama melalui aplikasi Twitter @My_CrimeWatch yang dibaca pada 17 Mei 2020, 8.15 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini.
Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu, pada 18 Mac, 4.20 petang dan 16 Mei 2020, pada 9.07 malam mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika disabitkan kesalahan boleh boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
Sanjeevan ketika ditemui pemberita bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada pasukan peguam sepanjang mengendalikan kes tersebut.
-- BERNAMA
#pengerusi mywatch #Sri Sanjeevan #komunikasi palsu #PDRM
;