Pengerusi Bersih 2.0 failkan saman fitnah terhadap Jamal Yunus
Bernama
Oktober 7, 2016 14:17 MYT
Oktober 7, 2016 14:17 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunus atas dakwaan mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas Daish.
Chin, 60, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini dengan menamakan Jamal, yang merupakan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM), sebagai defendan.
Dalam saman yang difailkan melalui Tetuan Daim & Gamany, Chin mendakwa pada 28 Sept lepas, Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.
Chin juga mendakwa, pada 4 Okt lepas, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Okt di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.
Beliau menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu. -- BERNAMA