'Pengerusi Bersatu Selangor tidak bercakap benar', dakwa 3 ketua bahagian

Firdaus Azil
Mei 20, 2020 17:38 MYT
Tiga ketua bahagian Bersatu di Selangor anggap kenyataan Rashid Ashari bercanggah dengan apa yang dicapai dalam mesyuarat 13 Mei lepas.
Tiga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor hari ini tidak bersetuju bahawa kesemua ketua bahagian negeri mahukan Presiden mereka Tan Sri Muhyiddin Yassin memangku jawatan Pengerusi.
Dalam satu kenyataan hari ini, tiga ketua bahagian berkenaan - Mohd Shaid Rosli (Kuala Selangor), Datuk Syed Abdillah Syed Abd Aziz (Klang), dan Mohd Sufian Mat Junus (Bangi) berkata terdapat perbezaan ketara dalam apa yang dicapai dalam mesyuarat bertarikh 13 Mei itu.
Mereka berkata, persetujuan bersama yang sebenarnya dipersetujui adalah menghormati dan menyokong Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri kelapan, dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu.
“Tiada apa-apa ketentuan berkaitan Pemangku Pengerusi yang dipersetujui oleh kami, apatah lagi tindakan memecat seperti dalam klausa 10.2 Perlembagaan Bersatu dicadang, bahas mahupun dipersetujui.
“Kami juga bertegas tidak mahu sebarang usaha untuk memecat Dr Mahathir mahupun Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. Dengan itu kami tidak sependapat dengan kenyataan akhbar Bersatu Selangor tersebut,” kata mereka lagi.
BACA: MPT Bersatu setuju keluar PH 23 Februari lalu, bentuk gabungan baharu
Sebelum ini Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari, yang juga Naib Presiden parti, dilaporkan sebagai berkata, pihaknya secara sebulat suara menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan pemangku Pengerusi Bersatu.
Beliau berkata lanjut, Bersatu Selangor menyanjung tinggi dan menghormati serta mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dr Mahathir yang mencipta sejarah negara dan dunia sebagai seorang Perdana Menteri yang lanjut umur tetapi masih cekap dan berkesan dalam pentadbiran negara.
Mengulas lanjut, tiga Ketua Bahagian itu berkata, mereka bersepakat mengharapkan agar segala kemelut dalam parti dapat diselesaikan secara musyawarah yang terpimpin.
Kata mereka lagi, langkah itu amat penting supaya segala bentuk pergolakan kepimpinan atasan tidak menjadi penghalang kepada kepimpinan akar umbi, dan seterusnya memastikan parti Bersatu kembali kepada asas perjuangannya.
#Abdul Rashid Ashari #Bersatu Selangor #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #PPBM
;