Pengerusi ASEAN: Pendigitalan, transisi tenaga antara fokus - PM Anwar

Ridauddin Daud
Jun 12, 2024 17:07 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama rakan sejawatannya dari Singapura Lawrence Wong selepas mengadakan pertemuan empat mata sempena lawatan kerja perdana menteri Singapura itu ke Malaysia hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Pendigitalan, tenaga boleh diperbaharui, perdagangan dan ekonomi merupakan antara aspek tumpuan Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN berjaya mencapai beberapa konsensus sebelum ini dan tumpuan kini diberikan kepada cabaran mendatang pula.
Menurutnya, persetujuan sebegitu perlu dicapai dalam memastikan ASEAN mampu menjadi kuasa yang benar-benar kuat di persada dunia.
“Sudah tentu ada isu tertunggak, seperti untuk mencapai konsensus lima perkara dengan Myanmar.
“Saya fikir ini keputusan semua negara ASEAN, bahawa ini mesti menjadi keutamaan juga. Kita boleh melakukannya bersama-sama.
“Ia tidak mudah tetapi ia boleh menjadi lebih baik jika kita dapat meneruskan penglibatan ini dengan hala tuju yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Seri Perdana selepas menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di Putrajaya pada Rabu.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Dalam pada itu, Lawrence menegaskan Singapura menyokong penuh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
“Singapura akan menyokong penuh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.
“Kami berharap dapat bekerjasama untuk menetapkan agenda yang bercita-cita tinggi dan berpandangan ke hadapan untuk ASEAN untuk 10 hingga 20 tahun akan datang,” ujarnya.
Kedua-dua pemimpin tersebut meluangkan masa lebih satu jam di Kompleks Seri Perdana sempena lawatan sulung Lawrence ke Malaysia usai dilantik menjadi Perdana Menteri republik berkenaan.
#Pengerusi ASEAN #Anwar Ibrahim #Lawrence Wong #pendigitalan #transisi tenaga
;