Pengerusi ASEAN 2025: ASEAN akan cari sinergi baharu
Umavathi Ramayah
Ogos 20, 2024 05:40 MYT
Ogos 20, 2024 05:40 MYT
NEW DELHI: Dalam persediaan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, tumpuan bukan sahaja akan diberi kepada mekanisme dan institusi sedia ada, malah Malaysia akan memastikan pertubuhan negara-negara Asia Tenggara itu mencari sinergi dengan rangka kerja baharu untuk pembangunan serantau.
Tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bagi memastikan ASEAN terus menjadi platform yang berimpak tinggi bagi memacu kerjasama serantau dan pada masa sama meningkatkan kesejahteraan negara-negara anggota.
"Malaysia percaya bahawa dengan memperkukuhkan kerangka sedia ada dan mencari keserasian dengan inisiatif lain, ia akan membawa manfaat yang lebih besar kepada rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk Ke Arah Pembangunan Global Selatan Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India di Sapru House, anjuran Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA), di sini, pada Selasa.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan India dan Rakan Dialog yang lain, memastikan blok 10 negara ASEAN kekal di barisan hadapan dalam integrasi serantau, di samping terus menjadi penggerak untuk pembangunan mampan di rantau ini.
Kata beliau, selaku Rakan Dialog ASEAN sejak sekian lama, India dijangka memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat itu.
Anwar berkata, perkongsian ASEAN-India memainkan peranan penting dalam memupuk pertumbuhan ekonomi, kerjasama keselamatan dan pertukaran budaya di seluruh rantau ini.
"Kita melihat potensi besar dalam meningkatkan kerjasama ini, terutamanya ketika kita berusaha untuk menyelaras keutamaan ASEAN dengan inisiatif lebih luas yang menyokong Selatan Global," katanya lagi.
Anwar dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke India atas jemputan Perdana Menteri Narendra Modi. Beliau tiba di sini pada Isnin lalu.