Pengendali tren, rel perlu lebih peka keselamatan OKU, warga emas - Rohani
Azyyati Ahmad
November 23, 2017 07:22 MYT
November 23, 2017 07:22 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa operator stesen kereta api dan tren agar lebih peka terhadap keselamatan penumpang OKU serta warga emas yang menggunakan perkhidmatan mereka.
Ini susulan kejadian yang menimpa seorang OKU penglihatan yang terjatuh di landasan Monorel KL Sentral Ahad lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang kesal dengan kejadian itu mahu setiap petugas stesen menerima latihan berkaitan Kesaksamaan Hilang Upaya (DET) dan Latihan Khidmat Berkaitan Hilang Upaya (DRST) agar ia menjadi pengangkutan awam mesra OKU dan warga emas.
Rohani berkata latihan itu perlu diperluaskan kepada semua petugas yang terlibat secara langsung dengan pengguna seperti petugas kaunter dan anggota polis bantuan.
“Ciri-ciri keselamatan di setiap stesen kereta api dan tren perlu dipertingkatkan.
“Operator yang mengendalikan stesen kereta api, Monorel, Komuter dan MRT perlu menjalani latihan DET dan DRST ini untuk mereka merasai bagaimana menjadi OKU ketika menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar pertambahan sukarelawan di stesen kereta api dan tren perlu dilakukan bagi menjaga keselamatan golongan OKU dan warga emas dengan lebih efektif.
Pada 12 November lalu, seorang OKU penglihatan, Mohd Hanapiah Yeop Shaharudin, 49, terjatuh di landasan Stesen Monorel Kl Sentral menyebabkan mangsa sehingga kini terlantar Di Wad Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.
Setakat ini, sebanyak 17 kes seumpama itu dilaporkan sejak 2014.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat MKBOKU bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi membincangkan isu keselamatan OKU menggunakan pengangkutan awam.
#DET
#Hospital Kuala Lumpur
#Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat
#kereta api
#Kesaksamaan Hilang Upaya
#komuter
#KPWKM
#Mohd Hanapiah Yeop Shaharudin
#monorel
#MRT
#OKU
#Rohani Abdul Karim
#SPAD
#tren
#warga emas