Pengendali teksi KLCC mohon injunksi halang operasi Uber, GrabCar

Hilal Azmi
Januari 12, 2016 18:51 MYT
Shamsubahrin berkata tidak menjadi masalah jika Uber dan GrabCar memenuhi syarat yang ditetapkan SPAD bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah. -Gambar fail
Syarikat pengendali teksi di Suria KLCC, Big Blue Capital Sdn Bhd akan mengambil tindakan mahkamah ke atas perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber dan MyTeksi.
Penasihatnya, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, tidak menjadi masalah jika Uber dan GrabCar memenuhi syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah.
"Kita memohon injunksi supaya kenderaan yang menggunakan aplikasi Uber, GrabCar dan MyTeksi tidak dibenarkan masuk ke kawasan operasi kita kecuali kenderaan mereka berdaftar dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan pihak SPAD dan Kementerian Pengangkutan Malaysia," katanya dalam sidang media di pejabatnya pada Selasa.
Selain itu, tindakan ini diambil bukan sahaja untuk menjaga kepentingan dan keselamatan pengguna, tetapi juga jenama KLCC sebagai pusat pelancongan negara.
"Seperti yang saya cakap selama ini, apabila pengguna ambil teksi di luar kawasan KLCC terutamanya kawasan hadapan dan luar di sekeliling KLCC, apabila ditipu, dipukul, diugut dan sebagainya, mereka akan cakap 'saya ambil teksi di KLCC'.
"Sebagai operator di kawasan ini, ini perkara yang saya pertikaikan kerana ia mencemarkan imej KLCC sebagai pusat pelancongan," katanya.
Tambahnya, dalam kontrak pengurusan Big Blue Capital dengan Suria KLCC, teksi perlu memenuhi peraturan yang ditetapkan SPAD sebelum mengambil penumpang dari premis mereka.
#Big Blue Capital #myteksi #Shamsubahrin Ismail #Suria KLCC #Uber
;