Pengendali rangkaian mudah alih sambut baik keputusan kekalkan SWN, tawaran ekuiti DNB
Bernama
Mac 16, 2022 22:11 MYT
Mac 16, 2022 22:11 MYT
KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN) selain membuka ruang bagi syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, MNO terbabit memaklumkan kesediaan untuk terbabit dalam sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penggiat utama industri tersebut bagi mendapatkan perincian pelaksanaan model berkenaan, termasuk cadangan tawaran pegangan ekuiti serta proses transaksi berkaitan.
Kumpulan MNO berkenaan turut berkongsi komitmen untuk merealisasikan cita-cita digital negara dan yakin dengan manfaat 5G ke atas perniagaan, pelanggan dan kerajaan dalam memperkukuh daya saing Malaysia di rantau ini.
"Kami percaya kejayaan pelaksanaan 5G bagi Malaysia itu akan berteraskan kepada prinsip-prinsip ketelusan, kemampanan dan keselamatan.
"Oleh itu, kami berharap untuk mengusahakan langkah seterusnya bagi membangunkan infrastruktur komunikasi yang mantap serta kalis masa depan bagi negara ini," katanya.
-- BERNAMA