Pengendali mesin pengorek maut tertimbus dalam runtuhan tanah
Bernama
April 9, 2017 18:33 MYT
April 9, 2017 18:33 MYT
Seorang pengendali mesin pengorek maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah di Taman Sri Mutiara Gading, Sri Gading, dekat Batu Pahat, hari ini.
Mangsa, Mohd Zainal Abd Latef, 31, berasal dari Kampung Batu Embun, Jerantut, Pahang.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata kejadian berlaku ketika Mohd Zainal menjalankan kerja-kerja menggali tanah bukit di sebuah tapak pembinaan rumah.
Bagaimanapun, selepas itu tiba-tiba terdapat runtuhan tanah, menyebabkan mangsa tertimbus.
"Kerja mencari Mohd Zainal mula dijalankan sejak pukul 10 pagi tadi dan mayatnya kemudian berjaya dijumpai oleh rakan sekerjanya.
Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian membantu mengeluarkan Mohd Zainal sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram, Saifulle Idris berkata kejadian dilaporkan kepada pihaknya pada pukul 11.37 pagi, sebelum sebuah jentera bersama enam anggota digegaskan ke lokasi.
Beliau berkata, operasi menyelamat Mohd Zainal turut dibantu tiga anggota Balai Bomba Batu Pahat.
"Mayatnya (Mohd Zainal) berjaya dikeluarkan pada pukul 12.59 tengah hari setelah mengenal pasti lokasi sebenar dia tertimbus," katanya.
--BERNAMA