Pengendali makanan di tapak pesta perlu dapatkan suntikan antitifoid - KKM
Bernama
Februari 7, 2025 19:17 MYT
Februari 7, 2025 19:17 MYT
Semua pengendali perlu dipastikan menghadiri Latihan Pengendali Makanan (LPM) di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf. - Gambar hiasan/Reuters
PUTRAJAYA: Penganjur, pemilik atau penyewa gerai jualan makanan dan minuman di tapak pesta makanan perlu memastikan semua pengendali mendapatkan vaksinasi antitifoid.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihak terbabit juga perlu memastikan semua pengendali menghadiri Latihan Pengendali Makanan (LPM) di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf.
Menurut kenyataan itu penganjur pesta atau ekspo makanan bersama penyewa gerai jualan makanan dan minuman turut diwajibkan mematuhi aspek kebersihan serta keselamatan makanan di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) 2009.
"Antara kewajipan dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi pemilik premis dan pengendali makanan adalah kebersihan diri, penggunaan peralatan perkakasan yang sesuai, penyediaan, pembungkusan dan penghidangan makanan yang tidak terdedah kepada pencemaran," menurut kenyataan itu.
Sekiranya berlaku pelanggaran terhadap ketetapan berkenaan, KKM memaklumkan tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pemilik premis makanan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut KKM tindakan yang boleh dikenakan adalah arahan penutupan premis tidak melebihi 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Justeru, KKM dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus menjalankan pemantauan di tapak pesta atau ekspo makanan di seluruh negara bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan berkenaan serta keselamatan makanan sentiasa terjamin.
-- BERNAMA