Pengendali laman FMC tidak ada kaitan dengan Puteri UMNO - Mas Ermieyati

Norsiah Mohd Ramli
Mei 4, 2015 17:56 MYT
MAS ERMIEYATI: Pengendali laman FMC tidak ada kaitan dengan Puteri UMNO - Gambar fail
Pergerakan Puteri UMNO menafikan pengendali laman Familia Myvi Club (FMC) yang dikenali dengan panggilan Yana ada kaitan dengan sayap parti berkenaan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sebelum ini beliau sudah meminta pihak berkuasa menyiasat segera siapa sebenarnya dalang di belakang laman berkenaan yang cuba memburuk-burukkan nama Puteri UMNO sekali gus cuba menyembunyikan perbuatan jahat mereka di bawah nama parti.
Menurutnya, beliau sudah merujuk nama pengendali laman berkenaan dan mendapati Yana tidak mempunyai rekod di dalam senarai ahli Puteri UMNO Gombak seperti yang didakwanya. Malah, wajah yang dipaparkan yang mendakwa pengendali laman itu turut tidak dicam ahli pergerakan Puteri UMNO Gombak sendiri.
“Saya memberi amaran kepada mana-mana ahli FMC yang terlibat di dalam insiden Sabtu lepas untuk segera tampil dan memberi kerjasama demi menyelesaikan isu ini segera,” kata Mas Ermieyati ketika ditemui semasa melawat rumah keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan di lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada Sabtu lepas.
BACA: Enam pemandu berlumba atas DUKE, 3 maut termasuk bayi
BACA: "Tangkap orang yang langgar ayah saya", luah Nur Firuza Amira kepada Zahid
BACA: 'Kami beri kerjasama, sokong pemandu Myvi bersalah dihukum' - Wakil FMC
Beliau juga berkata, beberapa dakwaan yang mengatakan mereka dilindungi 'orang dalam' juga seharusnya disiasat selain tindakan sewajarnya diambil segera.
“Saya melihat tindakan sebegini lebih kepada usaha menyelamatkan diri dan tidak cuba memberi kerjasama untuk membantu polis dalam siasatan, tindakan sebegini hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.”
Mas Ermieyati menegaskan Puteri UMNO tidak akan berkompromi dalam isu ini selain mahukan pembelaan terhadap keluarga mangsa.

Yana dr FMC didakwa adalah Ahli Puteri UMNO.setelah disemak oleh ibu pejabat UMNO tiada nama Yana seperti yg didakwa. #nahasDuke #fitnah

— mas ermieyati (@emysamsudin) May 4, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kemalangan yang berlaku Sabtu lepas merupakan kejadian yang menyayat hati, sekaligus menimbulkan pelbagai spekulasi yang menjadikan rakyat negara ini tuding-menuding dan meletakkan kesalahan kepada pelbagai pihak tanpa pengesahan pihak berkuasa.
Paling menyentuh hati adalah dua kanak-kanak kecil yang kini sudah menjadi yatim piatu kerana kehilangan ibu bapa.
Apa yang pasti, mereka perlu dibela serta diberi kasih sayang sehingga dewasa.
Pergerakan Puteri juga melahirkan rasa simpati dengan kejadian yang menimpa dan meminta pembelaan sewajarnya diberikan kepada kedua anak kecil ini.
“Saya turut merasa pilu dan sangat sedih apabila melawat mereka dan mendengar sendiri rintihan Nur Firuza yang mahu pihak berkuasa menangkap individu yang melanggar ayah mereka.”
Mangsa, Fairuz Nizam Husain,35, yang memandu Pajero Sport disahkan maut di tempat kejadian, sementara isterinya, Nova Safitri Azhari,27, dan bayinya, Nur Firuza Annisa yang turut tercampak ke jalan raya dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Puteri UMNO nafi FMC ada kaitan dengan sayap parti
Berdasarkan maklumat yang menjadi viral di laman media sosial, kemalangan dipercayai berpunca daripada enam kereta Perodua Myvi yang sedang berlumba sebelum dua daripadanya bergesel dan merempuh sehingga terbalik Pajero Sport yang dinaiki mangsa.
Bagaimanapun dakwaan itu masih dalam siasatan pihak polis.
#FMC #Mas Ermieyati #Myvi #Puteri #UMNO
;