Pengendali kren dipenjara 7 tahun laku amang seksual terhadap anak kandung
Shuhada Abdul Kadir
April 7, 2022 21:03 MYT
April 7, 2022 21:03 MYT
AYER KEROH: Padah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung sendiri, seorang pengendali kren dihukum penjara tujuh tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh yang berusia 46 tahun dijatuhi hukuman itu sejurus membuat pengakuan bersalah di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dan Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan pertama di hadapan Maziah, tertuduh dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang sewaktu kejadian berusia tujuh tahun 11 bulan.
Perbuatan itu dilakukan pada waktu tengah hari di sebuah rumah di Bukit Rambai di Melaka Tengah antara pertengahan sehingga akhir Oktober 2018.
Bagi pertuduhan kedua di hadapan Nariman, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama yang ketika itu telah berusia 11 tahun sekitar pukul 2.30 pagi di alamat sama, pada 23 november 2021.
Tertuduh didakwa masing-masing mengikut Seksyen 14 (d) dan 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Maziah dan Nariman kemudian masing-masing menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan, namun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap 24 November 2021.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan N Sivashangari.
Mengikut fakta kes, pada 23 November 2021, mangsa berasa badannya dihimpit ketika tidur dan sebaik tersedar dia ternampak ayahnya bergegas bangun dan keluar sambil menghulurkan wang RM50, namun tidak diambil.
Ibu mangsa kemudian bertanyakan hal itu kepada suaminya sebelum berlaku pertengkaran sehingga lelaki itu bertindak menarik rambut serta memukul badannya.