Pengendali jet ski mati lemas selepas selamatkan pelanggan

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 19, 2021 16:14 MYT
Menurut ibu mangsa, Rohani Omar, anak kedua daripada tiga beradik itu sangat berminat dengan akiviti air dan telah bekerja sebagai operator jet ski lebih setahun lalu. - Sumber foto APMM
TELUK BAHANG: Hasrat seorang operator jet ski untuk membantu dua pelanggannya yang terjatuh ke dalam laut ketika menunggang jet ski berakhir tragedi apabila dia ditemui mati lemas.
Mayat Mohammad Ashrul Aswan Hussain, 23, ditemui pada pukul 10.26 pagi Jumaat, kira-kira 150 meter dari pesisir pantai Perairan Monkey Beach, Taman Negara Teluk Bahang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak bin Mohammed, berkata, operasi mencari dan menyelamat digerakkan sejurus menerima laporan kehilangan mangsa pada pukul 4.30 petang Khamis,
Dalam kejadian pukul 4.07 minit petang itu, mangsa bersama seorang rakannya dikatakan menaiki jet ski untuk menyelamatkan pelanggan mereka berikutan jet ski yang dinaiki terbalik
Sebaik diselamatkan, rakan mangsa membawa dua pelanggan itu ke pantai dan meninggalkan mangsa di lokasi kejadian.
Sekembalinya rakan mangsa ke lokasi, mangsa yang ketika itu tidak memakai jaket keselamatan serta tidak berbaju dan hanya berseluar hitam didapati telah hilang.
Menurut ibu mangsa, Rohani Omar, anak kedua daripada tiga beradik itu sangat berminat dengan akiviti air dan telah bekerja sebagai operator jet ski lebih setahun lalu.
Sebetulnya, kata Rohani, Allahyarham anaknya itu menghidap penyakit sawan dan pernah dinasihatkan oleh doktor elakkan daripada terlibat dalam aktiviti sedemikian.
“Doktor pernah cakap, sakit macam dia (Allahyarham) tidak boleh air (aktif aktiviti air) dan saya pernah juga halang dia, tetapi minatnya arah ke situ,” ujar Rohani.
Berkongsi cerita saat-saat akhir pemergian Mohammad Ashrul Aswan, kata Rohani, arwah anaknya itu tidak pernah lupa menitipkan pesanan setiap kali sebelum keluar rumah.
“Dia memang suka nasihatkan saya selalunya jaga diri,” ujar Rohani bercerita mengenai kebiasaan sifat anaknya itu.
Kata Rohani, Allahyarham Mohammad Ashrul Aswan merupakan seorang yang tidak pernah mengabaikan pengambilan ubat lebih-lebih lagi menyedari penyakit yang dihidapnya perlu dikawal.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk tindakan lanjut.
#operator jet ski #pengendali jet ski #Mohammad Ashrul Aswan Hussain #mati lemas #Perairan Monkey Beach #Taman Negara #Teluk Bahang #pulau pinang #jet ski #Hospital Balik Pulau
;