Pengendali hotel optimis terima tempahan memberangsangkan semasa PRN Johor

Bernama
Mac 1, 2022 11:24 MYT
Pihak hotel tidak melihat sebarang lonjakan tempahan secara tiba-tiba sempena pilihan raya negeri, tetapi berharap tempahan meningkat dalam beberapa minggu akan datang. - Gambar fail BERNAMA
JOHOR BAHRU: Beberapa pengendali hotel di negeri ini optimis bahawa industri perhotelan akan menerima reaksi menggalakkan dari segi tempahan terutamanya semasa pilihan raya negeri Johor yang sedang berlangsung.
Pengurus Besar Hotel Grand Paragon Johor Bahru Yeo Siu Ling berkata hotel berkenaan telah menerima tempahan yang memberangsangkan bulan ini berikutan pilihan raya negeri yang bermula dengan penamaan calon Sabtu lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjadualkan 8 Mac untuk pengundian awal manakala hari pengundian pada 12 Mac.
"Kami sudah pun menerima kira-kira 60 peratus tempahan yang telah disahkan semasa pilihan raya negeri yang sedang berjalan berbanding 40 peratus tahun lepas. Ya, kami memang mendapat reaksi yang kami tidak sangkakan.
"Kami menjangkakan kadar penghunian yang tinggi semasa kemuncak pilihan raya negeri kerana telah menerima banyak pertanyaan daripada semua segmen -- kerajaan, korporat dan ahli politik," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Beliau seterusnya mengunjurkan kadar penghunian di hotel itu antara 70 dan 85 peratus dan akan ditempah sepenuhnya menjelang hari pengundian pada 12 Mac.
Terletak di Taman Century di sini, hotel itu turut dipilih sebagai salah satu hotel kuarantin di Johor Bahru semasa penularan pandemik COVID-19 pada 2021.
Sementara itu, pengurus pemasaran dan komunikasi Holiday Inn Express Suites Johor Bahru, Keyin Tay berkata walaupun kerajaan telah menarik balik larangan perjalanan rentas negeri, peratusan yang membuat perjalanan ke Johor masih rendah kerana sempadan Singapura-Johor kekal ditutup.
"Ia bukan tempoh yang mudah untuk kami buat masa ini. Tetapi kami berharap dapat menghadapi cabaran ini bersama-sama dan berdoa agar apabila perjalanan ke dan dari Singapura dan Indonesia dibenarkan, perniagaan kami akan kembali kepada sedia kala dan menjadikan Johor bertenaga semula dengan perniagaan hospitaliti kami," katanya.
Tay berkata pihak hotel tidak melihat sebarang lonjakan tempahan secara tiba-tiba sempena pilihan raya negeri, tetapi berharap tempahan meningkat dalam beberapa minggu akan datang.
"Kami amat berharap tempahan bilik akan meningkat dalam beberapa minggu akan datang apabila orang ramai pulang ke kampung halaman mereka untuk pilihan raya negeri tetapi kami masih tetap berhati-hati berikutan peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini," katanya.
Sementara itu, pengerusi Malaysian Association of Hotels Johor Chapter Ivan Teo berkata prestasi hotel-hotel (purata kadar penghunian) sebelum pandemik ialah 65 peratus berbanding 15 peratus hingga 20 peratus semasa penularan pandemik.
"Pada masa ini, dengan larangan perjalanan rentas negeri ditarik balik, prestasi hotel boleh mencapai kira-kira 45 peratus. Bagaimanapun, ia berbeza antara hotel pinggir laut/pantai (resort) dan hotel bandar. Hotel-hotel bandar terjejas teruk sehingga hari ini.
"Saya berpendapat data tempahan tidak akan banyak berbeza kerana kebanyakan hotel sangat bergantung kepada rakyat Singapura dan bukannya pilihan raya negeri -- mungkin berlaku lonjakan (semasa pilihan raya negeri) tetapi bukan untuk tempoh yang lama," katanya ketika dihubungi.
Namun begitu, persatuan itu tetap yakin terhadap prestasi hotel-hotel di negeri ini pada tahun ini kerana lebih banyak negara akan membuka sempadan mereka. Ia masih mengharapkan pembukaan sempadan darat Singapura-Johor kerana ia adalah yang paling mudah dan terdekat berbanding dengan perjalanan udara.
-- BERNAMA
#PRN Johor #hotel #kadar penghunian #buka sempadan
;