Pengendali e-dagang perlu banteras jualan peranti perubatan tidak berdaftar
Bernama
Februari 14, 2024 06:45 MYT
Februari 14, 2024 06:45 MYT
KUCHING: Pengendali platform penjualan e-dagang atau dalam talian mempunyai tanggungjawab untuk membanteras penjualan peranti perubatan tidak berdaftar.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata setiap peranti perubatan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi memastikan kualiti dan keselamatan peranti tersebut.
"Sebarang peranti perubatan yang tidak berdaftar dengan MDA juga tidak boleh diiklankan.
"(Pengendali platform e-dagang) perlu mempunyai satu mekanisme bagaimana untuk mengeluarkan semua posting berkaitan peranti perubatan yang tidak berdaftar daripada platform jualan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus bersama pemain industri peranti perubatan Sarawak di sini.
Lukanisman berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan meneliti keperluan untuk memperkukuhkan undang-undang sedia ada bagi menangani penjualan peranti perubatan tidak berdaftar.
"Proses pindaan sebarang undang-undang juga akan memerlukan penglibatan Ahli Parlimen untuk membawa sebarang cadangan, kita di pihak KKM juga akan membuat kajian mengenai perkara itu," katanya.
-- BERNAMA