Pengendali bot Tasik Kenyir perlu tegas minta pengunjung pakai jaket keselamatan
Bernama
Disember 2, 2015 08:00 MYT
Disember 2, 2015 08:00 MYT
Pengusaha dan pengendali bot di Tasik Kenyir diminta bertegas terhadap segelintir pengunjung yang enggan memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di tasik berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Zamri Omar berkata sikap acuh tidak acuh terhadap keselamatan merupakan antara punca berlakunya insiden lemas.
"Ada kejadian lemas, bot terbalik dan sebagainya...jika jaket keselamatan itu dipakai dengan sempurna, sudah pasti ia dapat mencegah dari perkara yang lebih buruk.
"Walaupun ini kawasan tasik, namun aspek keselamatan tidak boleh diabaikan dan dipandang ringan. Kita minta semua pihak patuh pada arahan yang dikeluarkan," katanya kepada Bernama selepas kursus pengendalian bot kepada pengusaha bot dan penduduk setempat di Tasik Kenyir di sini pada Selasa.
Menurutnya para pengusaha bot juga dingatkan agar tidak membawa lebihan muatan ketika melakukan aktiviti air.
Justeru, katanya, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) diminta untuk memantau dan mengenakan tindakan tegas terhadap pengusaha, pengendali bot ataupun penduduk yang masih ingkar terhadap aspek keselamatan.