Pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan memberi manfaat kepada perniagaan melalui kos pematuhan dan pentadbiran yang lebih rendah.

Di samping itu, menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF), SST baharu lebih mesra perniagaan, kurang birokrasi dan membantu pengurusan aliran tunai perniagaan.

"Kerajaan akan terus komited untuk menambah baik pelaksanaan SST baharu demi meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya," kata laporan itu.

SST diperkenalkan semula pada 1 September 2018 untuk menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan. Perundangan untuk SST diwartakan pada 26 Ogos 2018.

Terdapat dua jenis cukai berbeza di bawah SST yang ditadbir melalui perundangan berasingan, iaitu Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) dan Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807).

Bagi mempermudah dan mengurangkan kos perniagaan, semua permohonan untuk pendaftaran dan pengecualian dilaksanakan secara dalam talian.

Langkah itu dilaksanakan berikutan maklum balas pihak industri bahawa wujud birokrasi serta penyediaan kertas kerja yang merumitkan sewaktu pelaksanaan sistem SST terdahulu.

Di bawah SST baharu, Jabatan Kastam menjalankan pendaftaran automatik bagi pengilang dan penyedia perkhidmatan yang layak melalui pemindahan data dari pangkalan data GST.

Sehingga 14 September 2018, sejumlah 94,783 perniagaan didaftarkan di bawah SST yang terdiri daripada 56,918 penyedia perkhidmatan dan 37,865 pengeluar.

Antara kebimbangan utama dalam pelaksanaan SST ialah kemunculan semula ekonomi tidak formal.

Namun demikian, risiko ini dapat dikurangkan dengan kewujudan pangkalan data perniagaan sedia ada serta perkongsian maklumat berterusan antara Jabatan Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

-- BERNAMA