Pengenalan CPI dalam KPI memupuk ketelusan - Lam Thye
Bernama
September 29, 2024 04:20 MYT
September 29, 2024 04:20 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dicadang untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi penjawat awam dilihat mampu memupuk ketelusan dan mempertanggungjawabkan setiap agensi kerajaan terhadap segala tindakan mereka ke arah amalan urus tadbir yang lebih baik.
Ahli Institut Integriti Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata pegawai kerajaan akan menjadi lebih bertanggungjawab dan telus dalam setiap perbuatan kerana mereka tahu, mereka akan dinilai dengan kriteria CPI, sekali gus mengalih fokus utama daripada membuat lebih banyak kerja atau melakukan kerja dengan lebih pantas, kepada isu meraih kepercayaan orang awam dan tingkah laku beretika, yang akan menolak amalan rasuah.
"Apabila penjawat awam sedar yang prestasi mereka dinilai oleh perspepsi umum, mereka dengan sendirinya akan terpanggil untuk memberi layanan lebih baik kepada orang awam di samping menimbang maklum balas umum, yang sudah pasti dapat memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.
"Dalam pada itu data CPI juga boleh digunakan untuk menyediakan lebih banyak latihan kepada penjawat awam, terutama berkenaan etika dan amalan anti rasuah, yang dapat mewujudkan pendekatan sistematik untuk mengurangkan rasuah, meningkatkan tadbir urus, memupuk budaya kebertanggungjawapan, dan pada akhirnya akan melahirkan pekerja lebih baik," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata sehubungan itu antara perkara penting yang juga perlu diambil kira dalam KPI termasuk seperti berkaitan kewangan, pelanggan, pekerja, sosial dan alam sekitar di samping inovasi.
"Dengan mengambil kira aspek ini, ia akan memastikan penghasilan satu KPI yang lebih komprehensif dan teguh sifatnya, yang akan meningkatkan prestasi, membantu mencapai matlamat diinginkan, dan seterusnya membawa kepada tadbir urus yang lebih baik,"katanya.
-- BERNAMA