Pengenalan BNPL semasa COVID-19 tepat pada masanya

Bernama
Julai 6, 2021 13:05 MYT
Tidak menghairankan apabila melihat ramai peruncit di Malaysia menggunakan kaedah pembayaran alternatif yang lebih selesa ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengenalan sistem Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) di Malaysia semasa pandemik COVID-19 dianggap sebagai kaedah yang tepat pada masanya dan sangat perlu bagi membolehkan perniagaan mengekalkan pertumbuhan berterusan dalam tempoh mencabar ini.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Split, penyedia fintech BNPL pelbagai saluran (omnichannel) Dylan Tan, berkata adalah tidak menghairankan apabila melihat ramai peruncit di Malaysia menggunakan kaedah pembayaran alternatif yang lebih selesa ini.
"Dengan membenarkan pelanggan membuat pembelian dan membayarnya dari masa ke masa dengan ansuran tanpa faedah, BNPL membolehkan pengguna menguruskan belanjawan mereka ketika membuat pembelian.
"Pada masa sama, ia turut membuka segmen pelanggan baharu yang besar untuk peniaga, terutama milenium muda dengan peruntukan tetap dan bagi mereka yang tidak memiliki kad kredit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Tan berkata BNPL berpotensi mengubah pedagang menjadi penjual pelbagai saluran, membolehkan mereka memperluas kaedah jangkauan kepada khalayak yang lebih besar melalui saluran dalam talian yang mungkin belum pernah mereka pertimbangkan sebelum ini atau tidak dapat akses.
"Lagipun, kaedah pembayaran seperti BNPL menangani kebimbangan pengguna mengenai ansuran, antaranya yang paling biasa termasuk bimbang perlu membayar lebih banyak, denda yang tidak diingini sekiranya ketidakmampuan untuk membuat pembayaran balik, hutang dan banyak lagi," tambahnya.
-- BERNAMA
#pandemik #COVID-19 #dalam talian #Malaysia #peniaga #perniagaan #split #BNPL #Beli Sekarang Bayar Kemudian #fintech #peruncit #pembelian #pelanggan #hutang #pedagang #pembayaran alternatif #kad kredit
;